Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Rayuan hari ini

 Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Rayuan hari ini

Gambar fail – Datin Seri Rosmah Mansor

PUTRAJAYA, 6 Dis — Datin Seri Rosmah Mansor hadir di Mahkamah Rayuan hari ini bagi mengikuti prosiding rayuan bagi membatalkan perbicaraan kes rasuahnya dan menggugurkan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan.

Walau bagaimanapun, Rosmah Mansor gagal sekali lagi untuk membatalkan kes rasuah melibatkan projek tenaga solar hibrid untuk sekolah-sekolah di pedalaman Sarawak bernilai RM1.25 billion.

Minggu lalu, panel hakim sebulat suara memutuskan untuk tidak mengeluarkan waran tangkap biarpun Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram meminta panel hakim agar berbuat demikian.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah yang bersidang bersama-sama Datuk M Gunalan dan Datuk Hashim Hamzah memberi peluang kepada Rosmah dan memerintahkannya hadir hari ini, memetik laporan Berita Harian.

Hanipah dalam penghakiman minggu lalu berkata, panel sebulat suara membuat keputusan menahan daripada mengeluarkan waran tangkap terhadap Rosmah kerana antara lain ia turut menimbangkan perayu (Rosmah) sebelum ini tidak pernah gagal hadir prosiding perbicaraan kes rasuahnya di mahkamah tinggi.

Dalam prosiding minggu lalu, peguam Datuk Jagjit Singh menjelaskan, terdapat perubahan kepada jadual perjalanan anak guamnya memandangkan perubahan peraturan kuarantin mengikut Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) antara Malaysia dan Singapura.

Pada 15 Oktober, Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan Rosmah untuk mendapatkan passportnya secara sementara dari 15 Oktober hingga 6 Disember untuk membolehkannya ke Singapura, tetapi meletakkan syarat ketat untuk Rosmah hanya berlepas ke Singapura dari 22 Oktober dan menegaskan bahawa dia mesti kembali ke Malaysia pada 21 November.

Rosmah kini sedang dibicarakan atas satu pertuduhan meminta suapan dan dua pertuduhan rasuah berkaitan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah di pedalaman Sarawak.

Rosmah merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk membatalkan perbicaraan kes rasuahnya membabitkan projek tenaga solar dan menggugurkan Gopal daripada mengetuai pendakwaan dalam kes terbabit.

Rosmah didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, melalui pembantunya ketika itu, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek solar menerusi rundingan terus dengan Kementerian Pendidikan.

Beliau turut didakwa menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Saidi antara 2016 dan 2017.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  2