Roromendut muncul di perairan Raffles Light House

 Roromendut muncul di perairan Raffles Light House

Oleh Mohd Kamal Ahmad

RORO Mendut adalah karya sastera klasik Indonesia tulisan Y B Mangunwijaya. Roro Mendut dikatakan seorang wanita cantik yang memikat hati semua orang termasuk kalangan pembesar. Kisah perjalanan hidup, erotisme dan tragedi cinta wanita dari Pantai Kabupaten Pati ini diabadikan dalam teks Jawa kuno – Babad Tanah Jawi.

Tetapi di Singapura, Roro Mendut bukan wanita cantik tetapi gelaran seorang lelaki kaki pancing laut yang tegar. Namanya Mohd Effendi Mustafa dan turut dikenali sebagai Fendi Roromendut. Beliau menggabungkan kira-kira 30 kaki pancing termasuk  dari Tampines, Toa Payoh dan Ponggol dalam grup Whatsapp – Azmi Boat Fishing.

Fendi Roromendut kerap membawa mereka ke merata lubuk di Malaysia khususnya Sedili, Tanjung Leman, Mersing dan Rompin selain Terengganu serta Kelantan. Di sebelah pantai Barat, lokasi di Melaka dan Port Dickson juga kerap dijelajah.

Di Indonesia, eksplorasi pancing dilakukan di perairan Tanjung Pinang dan Batam. Untuk lubuk dalam negara, Fendi memilih perairan Changi, Southern Island dan Tuas.

Team Fendi Roromendut juga antara pasukan yang sering menyahut cabaran siri pertandingan memancing GP Joran pada 1990-an hingga 2010. Wakilnya kerap juga naik ke pentas untuk menerima hadiah pertandingan itu.

Baru-baru ini, beliau dan sekumpulan rakan meneroka lubuk di perairan sebelah selatan Singapura di sekitar Pulau Satumu yang menempatkan Raffles Light House. Mereka turun dari jeti di Sungai Pandan dan muncul di lokasi kira-kira sejam kemudian.

Ahmad Osman dengan sagai cermin yang dinaikkan dalam ekspedisi itu.

Trip eksplorasi itu disertai Fendi Roromendut Jr Mohammed Heikal, Ahmad Osman – pakar sejarah arkitektur, Prof Asyraf dan Haaziq. Mereka berenam memancing di sekitar pulau itu antara jam 10 pagi hingga 6 petang.

“Lubuk ini lebih dikenali sebagai Raffles Lighthouse oleh kerana rumah api yang terletak di Pulau Satumu itu dapat dilihat dari jauh. Ia sering didatangi oleh pemancing Singapura yang menggunakan teknik bottom fishing iaitu memancing untuk ikan-ikan di dasar laut dengan menggunakan umpan,” kata Fendi kepada Wacana.my

Trip sembilan jam itu mensasarkan spesies ikan pelagik seperti ikan sagai, cermin dan tenggiri. Sebanyak 10 ekor ikan masuk ke dalam tong ais – ebek, cermin, sagai muncung, tenggiri papan, todak, jemuduk, kerapu cicak, delah pinang dan dua sagai putih.  Ebek atau African Pompano yang dipancing Heikal mendahulu carta sembilan tangkapan lain. Spesies itu tumpas dalam tempoh 12 minit.

“Lima ekor ikan talang kami lepaskan semula ke habitatnya sebagai  merealisasikan konsep catch and  released,” katanya sambil memberitahu, trip itu tidak melibatkan penggunaan umpan sebaliknya  menggunakan teknik light jigging seberat 30g hingga 80g, dan juga teknik casting menggunakan sinking minnow seberat 28g.

Menurut Fendi, ekspedisi seterusnya mungkin masih kekal dalam perairan Singapura walaupun mereka tidak sabar-sabar untuk beraksi di Rompin dan Tioman menggunakan khidmat Mat Rompin yang mereka sifatkan tekong terhandal Malaysia.

Ketika ini, kerajaan republik itu membenarkan hanya tujuh pemancing dan seorang tekong berada dalam bot (tidak kira saiz) untuk setiap trip.

 

Related post

1 Comment

  • Wow,,,,,,,,, Wacana.my👍

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

84  +    =  86