Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Rokok seludup bernilai RM442,200 ditemui dalam plastik hitam

Oleh Nurman Nasyriq
KOTA TINGGI, 17 Feb — Rasa curiga anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila melihat satu longgokan ditutup kanvas biru ketika meronda di sekitar Punggai dan Batu Layar di sini semalam membawa kepada penemuan 2,948 karton rokok pelbagai jenama.
Rondaan pasukan keselamatan menerusi Op Merpati melalui satu lorong yang mencurigakan pada jam 11.20 pagi dan menemui rokok seludup tersebut.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) ATM dalam satu kenyataan memberitahu, rokok berkenaan disembunyikan dalam 50 bungkusan plastik hitam di bawah kanvas tersebut.
“Nilai rampasan rokok tidak bercukai ini bernilai RM442,200,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Semua barangan rampasan disahkan sebagai barangan seludup yang dibawa masuk dari Indonesia.
Lokasi berkenaan dipercayai menjadi tempat simpanan sementara sebelum dibawa masuk ke pasaran Malaysia. Barangan rampasan itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.