Roket China jatuh di Lautan India

 Roket China jatuh di Lautan India

Kredit foto BBC

BEIJING, 10 Mei – Sisa serpihan roket terbesar milik China, Long March 5B akhirnya jatuh di Lautan India semalam, di mana sebahagian besar komponennya musnah apabila memasuki atmosfera bumi.

Menurut koordinat yang diberikan media China serta dipetik daripada Pejabat Kejuruteraan Angkasa China, titik impak serpihan berkenaan diletakkan di Lautan India, sebelah barat kepulauan Maldives.

Bagaimanapun, titik impak serpihan berkenaan menerima kritikan hebat daripada Amerika Syarikat kerana kurang telus.

Media China melaporkan, serpihan roket berkenaan memasuki semula atmosfera bumi pada jam 10.24 pagi waktu Beijing, dan mendarat di lokasi dengan koordinat garis bujur 72.47 darjah timur dan garis lintang 2.65 darjah utara.

Serpihan dari Long March 5B itu telah menyebabkan ramai penduduk bumi melihat ke arah langit sejak ianya meletup pada 29 April lalu, tetapi pihak China mengatakan sebahagian besar serpihan itu sudahpun terbakar di atmosfera bumi.

Menurut laporan US Space Command, pihaknya mengesahkan kemasukan semula roket berkenaan ke Semenanjung Arab, tetapi tidak mengetahui adakah serpihan itu akan jatuh ke laut atau darat.

“Bagaimanapun, lokasi tepat serta waktu impak serpihan berkenaan adalah tidak diketahui, serta sebarang kenyataan tidak akan dikeluarkan US Space Command,” katanya dalam satu kenyataan di laman web rasminya.

Sebelum ini, roket Long March 5B pernah dilancarkan pada Mei 2020 dan serpihannya jatuh sehingga merosakkan beberapa bangunan di Ivory Coast. Tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azli Kamil Napiah berkata kemungkinan serpihan itu mendarat di kawasan berpenghuni adalah rendah, dan kemungkinan ianya boleh membawa kecederaan adalah lebih rendah.

“Dengan sebahagian besar daripada bumi adalah air, kebarangkalian ianya mendarat di kawasan berpenghuni adalah rendah. Jika ianya akan mendarat di kawasan berpenghuni, agensi-agensi angkasa antarabangsa pasti akan memberikan amaran awal.

“Kejadian serpihan badan roket yang terhempas dari angkasa ke Bumi adalah perkara biasa dalam pelancaran roket, namun kali ini ianya di luar jangkaan apabila ia memasuki ruang orbit rendah bumi dan hilang kawalan.

“Setiap syarikat pembuat roket mempunyai cara tersendiri dalam pembuangan serpihan roket apabila di angkasa. Bagi roket yang besar, kebiasaannya ia mempunyai beberapa peringkat dalam pembuangan serpihan roket,” katanya kepada Wacana.my.

Menurutnya, walaupun kejadian ini adalah perkara biasa, namun kali ini ianya di luar jangkaan kerana berlaku masalah hilang kawalan.

Tambahnya, trajektori serpihan roket itu sukar diramal kerana ianya mudah dipengaruhi oleh cuaca, ribut, taufan dan berat objek berkenaan.

Roket tanpa pemandu itu menuju ke stesen angkasa Tianhe yang mengandungi tempat tinggal bagi tiga anak kapal di stesen angkasa tetap China itu, akan diikuti oleh 10 lagi misi untuk menyempurnakan stesen itu pada 2022.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

29  −    =  20