Rohana, harapan baru buat anak tanpa dokumen

 Rohana, harapan baru buat anak tanpa dokumen

Isu anak tanpa warganegara, anak terdampar yang ditinggalkan ibu bapa, anak tak sah taraf yang lahir tanpa perkahwinan sah semua memiliki satu persamaan iaitu mereka tiada dokumen lengkap.

Tanpa dokumen lengkap, anak-anak ini berdepan kesusahan untuk melanjutkan pelajaran, memandu, bekerja, kemudahan perubatan, berkahwin dan lain-lain.

Sumber foto : Bernama

Dokumen lengkap ini adalah dokumen yang diperlukan untuk melengkapkan syarat bagi sesuatu urusan, contoh untuk lanjut pelajaran dan berkahwin perlu ada MyKad dan sebagainya.

Kenapa tiada dokumen lengkap? Ada banyak faktor seperti ibu bukan warganegara, bapa warganegara tetapi tidak daftarkan perkahwinan di negara ini, atau ibu bapa bukan warganegara tetapi meninggalkan anak mereka di sini atau juga ibu bapa terlewat daftar perkahwinan mereka, malah lebih dahsyat lansung tiada dokumen.

Timbul kebimbangan di sini jika syarat dilonggarkan ada pula kesempatan diambil warga asing untuk merampas hak rakyat di negara ini.

Bagaimanapun, yang ramai tidak sedar walaupun tanpa dokuman, warga asing sudah lama bertapak dan monopoli perniagaan di Pasar Chow Kit, Selayang, Bukit Bintang dan Kampung Baru.

Isu ini sudah lama berlaku di negara ini atau dengan kata lain karenah birokrasi di bawah undang-undang Islam berbeza negara lain tidak timbul isu begini kerana mereka digalakkan berkhidmat untuk negara dan dokumen bukan halangannya.

Diterima berkhidmat untuk negara dalam konteks membenarkannya belajar, berkahwin dan bekerja walaupun tanpa kerakyatan.

Media tempatan pada 2019 pernah melaporkan kes seperti Rohana Abdullah, gadis yang dibesarkan Chee Hoi Lan sejak 22 tahun, walaupun kes seperti Rohana tiada statistik jelas, namun dianggarkan puluhan ribu anak-anak Indonesia yang dilahirkan di Malaysia tidak mempunyai dokumen sah.

Rohana beruntung kerana memiliki sijil kelahiran namun ketiadaan maklumat ibu bapa mengheret gadis ini berdepan kesukaran melanjutkan pelajaran mahupun berkahwin.

Timbalan Menteri Perpaduan, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal tidak menolak karenah birokrasi dalam mendapatkan kerakyatan menyebabkan masa depan Rohana terjejas.

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, sumber foto oleh Bernama

“Harap kerajaan dapat perkemaskinikan isu pendaftaran agar Rohana boleh menikmati kehidupan normal seperti yang lain.

“Rohana dapat 8A tetapi dia tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana status dokumennya, inilah yang perlu diperkemaskinikan agar masa depannya terjamin,” katanya.

Majlis Perundingan Melayu (MPM) menerusi Pengerusi MPM, Tun Haniff Omar juga bersedia membantu Rohana untuk melanjutkan pelajaran ke institusi swasta sekiranya dia tidak mendapat taraf kerakyatan seperti sepatutnya.

Jabatan Pendaftaran Negara telah menerima 33,244 permohonan kes daftar lewat sijil kelahiran sejak 2018 hingga Februari 2021.

Isu anak tak sah taraf berbinti atau binkan Abdullah meninggalkan stigma negatif di fikiran rakyat yang menganggap mereka anak tak sah taraf sedangkan ada yang dilahirkan beribu bapa yang sudah berkahwin tetapi kerana tidak ikut prosidur betul, tiada dokumen anak pula menjadi mangsa.

Adakah anak itu wajar menerima hukuman di atas kesilapan ibu bapa yang tidak tahu kesan masa depan mereka?

Pernah dahulu dicadangkan dimasukkan maklumat ibu atau bapa biologi di dalam sijil lahir sejurus mereka lahir, dan jika perkahwinan itu sah baharulah ditambah maklumat berkenaan kemudian.

Setelah berpuluh tahun isu ini tidak selesai, akhirnya Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad, mengambil langkah awal pada Februari 2020 membenarkan anak orang Islam dilahirkan di luar prosidur perkahwinan Islam negara ini boleh di bin atau binti dengan 99 nama Allah atau Asmaul Husna, selain nama Abdullah.

Proses pendaftaran kelahiran bagi anak tidak sah taraf di Jabatan Pendaftaran Negara adalah berdasarkan kepada keputusan Fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam bertarikh 28 Januari 1981.

Adalah satu kerugian dan kelemahan bagi penganut Islam kerana dengan perkembangan ilmu sains dan teknologi melalui pelbagai kaedah boleh digunakan untuk menentusahkan ibu bapa biologi seseorang termasuk melalui jejak DNA.

Ironinya, ia satu bentuk diskriminasi mengikut perlembagaan negara ini, (sedangkan tiada diskriminasi agama jantina bangsa dan lain-lain) apabila anak biologi tidak sah taraf diterima sebagai anak sah taraf sebaik ibu bapanya memeluk Islam.

Justeru, apakah jalan penyelesaian terbaik dalam membantu golongan seperti mereka ini.

Sekurang-kurangnya, kes Rohana yang mendapat perhatian Perdana Menteri sekali gus kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara mahu keluarga itu menerima bantuan sewajarnya.

Namun bagaimana nasib yang lain contohnya di Sarawak, Sabah yang kita sedia maklum terlalu ramai jumlahnya.

Sehubungan itu, dicadangkan satu pangkalan data khas bagi merekodkan data anak-anak yang terbiar ini, menyediakan ruang khas sijil lahir untuk rekod ibu bapa biologi sejurus dilahirkan serta dasar yang khusus bagi memastikan hak mereka sebagai manusia tidak dinafikan walaupun taraf kerakyatan tidak diberi.

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  8  =