RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di Johor

 RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di Johor

Mustapa (kiri) beramah mesra dengan pengunjung restoran Asam Pedas Sungai Melayu, Iskandar Puteri, semalam.

ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Persekutuan menyediakan RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di negeri ini dalam Bajet 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, 

peruntukan itu melibatkan 434 projek pembangunan sedia sedia termasuk 79 projek baharu di negeri ini.

“Beberapa projek utama berimpak tinggi yang mampu memangkin pertumbuhan ekonomi Johor akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Salah satunya Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru, Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dan pembinaan sekolah baharu 36 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2, Kulai.

“Ini termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram dan pembinaan Hospital Pasir Gudang,” katanya dalam sidang media di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.

Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kemasukan Johor dalam kerjasama wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) akan memberikan impak yang lebih besar terhadap ekonomi negeri itu.

Katanya, hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan perancangan pembangunan yang dilaksanakan, khususnya dalam RMK-12.  

Sementara itu, beliau memberitahu, berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES  BA) 2019, kemiskinan mutlak di Johor sebanyak 3.9 peratus pada 2019 adalah rendah berbanding kemiskinan mutlak nasional pada kadar 5.6 peratus dalam tempoh yang sama. 

Daripada aspek strata katanya, kadar kemiskinan mutlak di luar bandar iaitu 4.8 peratus adalah lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan mutlak di bandar iaitu 3.6 peratus.

“Akibat pandemik COVID-19 dan senario ekonomi semasa, kemiskinan mutlak dianggarkan meningkat kepada  5.9 peratus di Johor dibandingkan  dengan 8.4 peratus pada peringkat nasional pada tahun 2020,” katanya. 

Jelasnya, mengikut rekod data e-Kasih, sebanyak 7,927 ketua isi rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar dan 9,655 dikategorikan sebagai miskin di Johor setakat 31 Oktober lalu. 

Daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 1,484 KIR miskin tegar manakala 1,499 KIR miskin.  

“Sistem e-Kasih akan disemak semula dan diperkukuh serta langkah pemutihan dalam mengenal pasti, melaksana dan memantau program pembasmian kemiskinan bagi meningkatkan ketelusan dan ketepatan data,” katanya.

Pangkalan data bagi mengenal pasti kumpulan sasar dan membangunkan profil isi rumah miskin serta menyediakan bantuan sosial akan disepadukan menerusi pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) untuk menambah baik program membasmi kemiskinan, katanya. 

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *