RM332.6 juta bantu IKS di Johor

 RM332.6 juta bantu IKS di Johor

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad

ISKANDAR PUTERI – Seramai 21,934 yang terlibat perusahaan kecil  dan sederhana (PKS) di negeri ini menerima manfaat pembiayaan RM332.6 juta bagi membantu mereka kembali aktif menjalankan perniagaan selepas terjejas akibat COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad memberitahu, pembiayaan itu diluluskan Majlis Pembangunan Usahawan Negeri Johor (MPUNJ) menerusi agensi-agensi di bawahnya hingga Julai lalu. 

Jelasnya, pembiayaan itu bagi membantu mereka berdaya saing dalam cabaran ekonomi norma baharu.

“Pihak kerajaan telah menyediakan pelbagai bentuk insentif dan inisiatif berbentuk skim pembiayaan, geran bantuan perniagaan, padanan perniagaan mahupun program pembangunan usahawan seperti seminar dan latihan dilaksanakan sejak Mac tahun lalu hingga kini. 

“Semua inisiatif yang telah dilaksanakan telah memberi manfaat hampir kepada 60,000 usahawan negeri Johor,” katanya semasa menjawab soalan Najib Lep (PN-Bukit Pasir) mengenai kaedah kerajaan bagi membantu usahawan yang terkesan teruk dan berisiko untuk gulung tikar pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Mohd. Izhar berkata, kerajaan Pusat menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 akan mempergiatkan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pembangunan keusahawanan melalui galakan usahawan dipacu inovasi dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan kompetetif dan mapan.

Kerajaan negeri juga menerusi Perbadanan Usahawan Johor (PUJB) memperuntukkan sebanyak RM7 juta bagi pelaksanaan Program Pembangunan Usahawan Pasca COVID-19 bagi tahun ini.

Tujuannya bagi memberi fokus meningkatkan daya saing serta pendapatan para usahawan di negeri ini menerusi inisiatif atau program yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). 

Beliau menambah, skop bantuan yang ditawarkan adalah berbentuk geran bantuan pembelian mesin dan peralatan, tambah baik premis, bantuan tunai mahupun program latihan kemahiran yang telah memberi manfaat kepada hampir 40,000 usahawan. 

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *