RM3 juta untuk mangsa- MAINJ

 RM3 juta untuk mangsa- MAINJ

Oleh NURMAN NASYRIQ

JOHOR BAHRU 13 Januari – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) memperuntukkan sebanyak RM3 juta bagi membantu rakyat yang terkesan akibat banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, sebanyak RM305,000 akan disampaikan kepada Pejabat Daerah Segamat, manakala Pejabat Daerah Tangkak menerima RM268,500 dan Pejabat Daerah Muar mendapat RM168,500.

Tosrin Javanthi (dua dari kanan) melepaskan konvoi Misi Bantuan Pasca Banjir di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru, hari ini

Menurutnya, peruntukan sama juga akan digunakan untuk membaik pulih enam buah masjid yang terjejas teruk akibat bencana berkenaan, iaitu tiga di Segamat, Tangkak (2) dan Muar (1).

“Bagi masjid yang mengalami kerosakan akan menerima peruntukan minimum sebanyak RM30,000, manakala bagi surau pula akan menerima bantuan RM10,000. Kejadian banjir menyebabkan permaidani masjid dan surau sudah tidak boleh digunakan lagi.

“Bantuan yang disalurkan ini dalam bentuk wang tunai dan barangan. Peruntukan sebanyak RM3 juta ini dipercayai mampu memanfaatkan kepada 500 hingga 800 mangsa banjir yang terkesan.

“Peruntukan yang diberikan ini adalah bantuan awalan. Sekiranya jumlah RM3 juta ini tidak mencukupi, MAINJ akan memberikan peruntukan tambahan untuk membantu lebih ramai mangsa banjir,” katanya pada Majlis Pelepasan Misi Bantuan Pasca Banjir di Pusat Islam Iskandar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Penasihat MAINJ, Datuk Nooh Gadut dan Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ), Datuk Md. Rofiki A. Shamsudin.

Seramai 200 orang terdiri daripada kakitangan MAINJ dan JAIJ yang terdiri daripada Briged Ansar dan Briged Aswaja akan bergerak ke Segamat bagi membantu mangsa-mangsa banjir di daerah berkenaan hari ini.

Tosrin berkata, Masjid Liang Batu dan Sekolah Agama Liang Batu di Muar yang turut terjejas, masing-masing menerima peruntukan RM30,000 dan RM20,000.

Selain itu, bantuan lain yang ditawarkan ialah bantuan kerosakan rumah, harta benda dan persekolahan anak-anak yang terjejas akibat banjir.

“Mangsa terjejas layak untuk menerima bantuan minimum RM5,000, bergantung kepada jenis kerosakan yang dialami akibat banjir,” katanya. – ENDS

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *