RM3.01 bilion SSPN kutipan tertinggi PTPTN sejak 25 tahun

 RM3.01 bilion SSPN kutipan tertinggi PTPTN sejak 25 tahun

KUALA LUMPUR, 2 Feb 2022: Jumlah deposit RM3.01 bilion akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) adalah tertinggi direkodkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak penubuhannya 25 tahun lalu.

Pencapaian luar biasa itu direkodkan setelah Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan diberi mandat menerajui perbadanan itu sejak 2018.

Menerusi kenyataan Wan Saiful di laman Facebook (FB) miliknya beliau berkata, kutipan paling tinggi ialah sekitar RM700 juta sebelum beliau mengambil alih PTPTN.

“Saya mula mengajak semua warga PTPTN memberi penekanan kepada budaya menabung.

“Dan hasilnya setiap tahun sejak 2018 kita berjaya menggandakan jumlah deposit yang diterima.

“Ini tahun keempat saya sebagai Pengerusi dan jumlah kutipan telah menjadi lebih empat kali ganda berbanding waktu saya bermula dahulu,” katanya.

PTPTN menerusi kenyataannya Isnin lalu, mengumumkan rejod sebanyak RM3.01 bilion jumlah deposit akaun SSPN bagi 2021, meningkat sebanyak RM1.02 bilion atau 50.95 peratus berbanding RM1.99 bilion pada 2020.

Pencapaian berkenaan adalah suatu yang membanggakan dan telah memecah rekod pencapaian perbadanan itu untuk tiga tahun sebelumnya dengan RM1.14 bilion direkodkan pada 2018 dan RM1.37 bilion pada 2019

Jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember 2021 ialah RM10.88 bilion manakala terimaan deposit berjumlah RM3.01 bilion bagi tahun 2021, merupakan 167.08 peratus berbanding sasaran 2021 sebanyak RM1.8 bilion.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu ia adalah kejayaan semua warga PTPTN.

“Semuanya bekerja keras untuk menjayakan visi membudayakan penabungan dalam masyarakat.

” PTPTN menjelajah semua tempat baik bandar mahupun kampung untuk mempromosikan budaya penabungan.

“Kita teruskan rekod cemerlang ini dan pastikan kita kekalkan momentum kejayaan yang telah kita bina!,” katanya.

Tun Puteh Wanti

sangratu@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

4  +  4  =