RM110,000 sedia juadah berbuka puasa miskin bandar

 RM110,000 sedia juadah berbuka puasa miskin bandar

Sukarelawan Dapur Infaq Ummah mengagihkan makanan percuma berbuka puasa kepada golongan miskin bandar di Jalan Wong Ah Jang.

Oleh Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 23 April – Seramai 500 golongan miskin bandar di daerah ini menerima makanan percuma untuk berbuka puasa setiap hari yang disediakan Dapur Infaq Ummah.

Projek prihatin itu turut diterima manfaatnya oleh gelandangan pelbagai kaum menerusi agihan makanan yang dilakukan di dua lokasi berasingan di lorong Jalan Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar, di sini.

Pengasas Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, setiap hari bermula 6 petang beliau dibantu sukarelawan turun padang untuk mengagihkan makanan dan minuman di dua tempat terbabit.

Menurutnya, tugas memasak nasi, lauk serta sayur yang berlainan menu setiap hari bermula 12 tengah hari, selepas itu kerja-kerja membungkus dilakukan.Semua kerja-kerja ini dilakukan secara gotong-royong oleh sukarelawan di Dapur Infaq Ummah Central Kitchen Indera Mahkota, di sini.

Katanya, 300 bungkus makanan diagihkan di lorong Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar, selebihnya disediakan kepada beberapa pihak di daerah ini.

Nasi dengan lauk, sayur dan buah yang berbeza setiap hari diagihkan kepada golongan gelandangan di Jalan Wong Ah Jang.

“Kita memerlukan perbelanjaan kira-kira RM110,000 bagi menyediakan makanan percuma termasuk buah kurma selama sebulan, sumber kewangan diterima daripada beberapa pihak.

“Dapur Infaq Ummah menerima sumbangan RM60,000 daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu (MUIP) dan RM20,000 daripada kerajaan negeri, selebihnya sumbangan pelbagai pihak,” katanya di sini.

Badrul berkata, Ramadan tahun ini adalah kali ketiga pihaknya menyediakan makanan percuma untuk golongan miskin bandar dan gelandangan berbuka puasa. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu bantuan makanan turut disediakan pada mereka.

Pihaknya juga sedia bekerjasama dengan individu mahupun syarikat swasta yang bercadang menyediakan makanan percuma pada golongan memerlukan di daerah ini. Sebelum ini Persatuan Wanita Tenaga Nasional Berhad (Pelitawanis) Pahang pernah bekerjasama.

Sementara itu, tinjauan ketika agihan makanan dilakukan mendapati rata-rata mereka yang makanan percuma itu bersyukur dengan bantuan makanan percuma berbuka puasa yang disediakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dapur Infaq Ummah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  69  =  76