Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
RM1.3 juta daging kerbau dari India dirampas

Kesemua daging kerbau berkenaan dengan berat 83,988 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1,302,653 dipercayai untuk pasaran Malaysia dan ditahan untuk tindakan lanjut. Foto WMY/Nurman Nasyriq
PASIR GUDANG, 25 Jun — Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 83 tan metrik daging kerbau dari India apabila menahan tiga kontena di Pelabuhan Pasir Gudang, di sini semalam.

Pengarah Maqis Johor, Hizzuan Hasim berkata, pemeriksaan tersebut dilakukan pada jam 2 petang dan turut menahan seorang ejen penghantaran berusia 22 tahun untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan.
“Hasil pemeriksaan lanjut telah mendapati nombor ‘seal’ pada kontena tidak sama seperti yang dinyatakan dalam dokumen ‘bill of lading’ yang telah diikrarkan.
“Kesemua daging kerbau berkenaan dengan berat 83,988 kilogram yang dianggarkan bernilai RM1,302,653 dipercayai untuk pasaran Malaysia dan ditahan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Perbuatan mengimport sebarang jenis keluaran pertanian dengan memberikan permit, lesen, perakuan atau dokumen lain yang palsu, tidak tepat atau mengelirukan Maqis adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 13 Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Jika disabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau dipenjara selama tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan undang-undang di semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan.