Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Risiko untuk pecah semula tinggi – Penduduk Lancong Jaya

KLANG: Ibarat telur di hujung tanduk, itulah peribahasa yang sesuai diungkapkan buat penduduk kawasan Kampung Lancong Jaya kerana terpaksa berhadapan dengan risiko hakisan tanah di kawasan sungai berdekatan kampung mereka.
Kegusaran ini berlaku setelah kawasan mereka dilanda bencana baru-baru ini, ia menyebabkan air mengalir deras di sungai berkenaan hingga mengakibatkan hakisan dan tanah mendap di beberapa kawasan tepi sungai Kampung Lancong Jaya.
Difahamkan, kedudukan kawasan Kampung Lancong Jaya itu bersebelahan dengan Sungai Klang dan risiko untuk berhadapan dengan tragedi tanah runtuh amat merisaukan mereka saat ini.
Menurut salah seorang penduduk di kawasan berkenaan, sistem perparitan di sungai tersebut tidak diselenggara dengan betul hingga mengakibatkan kuantiti air sungai melimpah dan tanah tebing sungai terhakis.

“Saya penduduk Lancong Jaya, nak ajukan masalah kampung saya berkenaan sistem peparitan sungai yang pecah, sebelum ini mereka dah tambak tetapi terlalu rendah dan menyebabkan hakisan tanah.
“Ban sebelum ini yang sudah siap dibaik pulih pun, kembali merekah dan mendap lalu ban yang dibina agak nipis,
“Risiko untuk pecah semula memang tinggi, jadi saya harap kepada pihak berwajib dapat disegerakan pembaikan ban yang pecah dan mendap.

Menurut penduduk Kampung Lancong Jaya Abdul Basha, kesan daripada hakisan dan pecahan ban berkenaan menyebabkan aliran deras hingga ke kampung berdekatan yang lain.
“Kalau ban ni pecah dan mendap, ia akan menyebabkan air masuk ke kawasan Kampung Bukit Lancong, untuk mengelakkan tragedi sebelum ini berulang kembali, harap di segerakan kerja pembaikan,” ujarnya pada Wacana.my
Tambahnya lagi, kerja pembaikan sudah pun dilaksanakan sebelum ini oleh kontraktor pembinaan, namun masih belum dapat mencari jalan penyelesaian bagi masalah ini.

Akhir sekali, penduduk berharap satu tindakan segera oleh pihak berwajib agar dapat menyelesaikan masalah hakisan tanah mendap di sungai berkenaan bagi mengelakkan trajedi ini berulang kembali.