RISDA, FELCRA agih dividen 2020 berjumlah RM189.08 juta – PM

 RISDA, FELCRA agih dividen 2020 berjumlah RM189.08 juta – PM

Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) menyampaikan replika cek dividen Felcra kepada Suraji Puniran (kiri) pada Majlis Penyampaian Dividen Risda dan Felcra 2021 di Ibu Pejabat Risda hari ini

KUALA LUMPUR, 27 April — Kementerian Pembangunan Luar Bandar bersetuju menyelaraskan pengagihan dividen dengan nilai keseluruhan RM189.08 juta melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan FELCRA Bhd, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Daripada jumlah itu, RM82.03 juta adalah dividen 2020 daripada RISDA manakala RM107.05 juta merupakan bayaran agihan akhir lebihan keuntungan projek tahun 2020.

Bagi dividen RISDA, beliau berkata ia akan diagihkan kepada 16,080 pekebun kecil yang mengusahakan tanaman getah dan sawit di bawah Rancangan Tanam Baru Berkelompok (RTBB) dan 15,165  pekebun kecil yang mengusahakan Tanam Semula Komersil (TSK), melibatkan keluasan 39,430 hektar di seluruh negara.

“Pada hari ini juga, saya difahamkan RISDA turut mengagihkan keuntungan zakat korporat kepada lebih 4,000 orang asnaf pekebun kecil dan institusi agama terpilih di seluruh Malaysia dengan nilai zakat RM2.48 juta,” kata perdana menteri ketika berucap merasmikan majlis Penyampaian Dividen RISDA dan FELCRA Tahun 2021 di sini, hari ini.

Menyentuh mengenai bayaran agihan akhir FELCRA, Muhyiddin berkata 58,826 peserta FELCRA di seluruh negara akan menerima bayaran tersebut secara berperingkat, bermula hari ini.

“Agihan akhir lebihan keuntungan FELCRA 2020 yang diagihkan ini adalah hasil keuntungan bersih daripada 890 projek ladang-ladang milik peserta yang dimajukan oleh FELCRA.

“Bakinya, iaitu 327 projek adalah terdiri daripada projek yang belum berhasil dan dalam fasa tanaman semula,” katanya.

Sementara itu, FELCRA dalam satu kenyataan berasingan berkata jumlah agihan akhirnya iaitu sebanyak RM107.05 juta adalah lebih tinggi berbanding RM83.82 juta pada tahun 2019.

Bagi sepanjang tahun 2020, FELCRA mencatatkan jumlah keseluruhan keuntungan sebanyak RM204.49 million, meningkat 19.51 peratus daripada RM171.10 juta yang diagihkan pada 2019.

“Senario purata harga buah tandan segar (BTS) sawit turut memberi sokongan kepada kenaikan jumlah agihan bagi tahun 2020. BTS direkodkan sebanyak RM492 per tan metrik, peningkatan sebanyak 35.91 peratus berbanding RM362 per tan pada 2019,” jelasnya.

Purata harga minyak sawit mentah (MSM) turut mencatatkan pengukuhan sebanyak 30.45 peratus kepada RM2,767 per tan metrik pada tahun 2020 berbanding RM2,121 per tan metrik pada tahun 2019.

“Walaupun harga komoditi di pasaran sangat memberangsangkan, FELCRA terkesan dengan pandemik COVID-19 akibat kekurangan tenaga kerja mahir untuk menuai dan memungut hasil sawit di ladang-ladang,” katanya.

Namun begitu, dalam satu sidang media ringkas yang diadakan kemudian, Timbalan Menteri (I) Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yakin bahawa agihan FELCRA pada tahun 2021 akan lebih tinggi berbanding 2020.

Beliau berkata keyakinan itu disokong oleh harga komoditi yang lebih tinggi dan permintaan berterusan dari luar negara seperti China, India dan negara Timur Tengah.

 

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

35  +    =  44