Rina Harun ziarah Fendy Caliph Buskers

 Rina Harun ziarah Fendy Caliph Buskers

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun melakukan kunjungan ke kediaman pemain dram kumpulan muzik terkenal Caliph Buskers, Fendy Adlun, pada Sabtu.

KUALA LUMPUR, 10 Jul — Keperitan hidup yang dilalui pemain dram kumpulan muzik terkenal Caliph Buskers, Fendy Adlun, 30, setelah lebih setahun pendapatannya terjejas akibat pandemik COVID-19 mendapat perhatian kerajaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata pihaknya akan memastikan permohonan rumah mampu milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang sebelum ini pernah dimohon Fendy, diuruskan dalam kadar segera.

“Saya akan bawa pegawai DBKL untuk proses permohonan ini dan diselesaikan secepat mungkin… rumah yang disewa ketika ini RM1,300 sebulan.

“Beliau sebelum ini merupakan penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC) di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat tetapi sejak tahun 2019 disebabkan pendapatan yang melebihi daripada sepatutnya, beliau tidak dapat bantuan itu secara berterusan dan dihentikan,” katanya selepas melakukan kunjungan ke kediaman Fendy pada Sabtu.

Rina berkata bagaimanapun dalam keadaan pandemik kini, ramai yang terjejas termasuk golongan orang kurang upaya (OKU).

“Kerajaan tidak meminggirkan OKU dan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) ada pakej bantuan untuk OKU terjejas pendapatan iaitu bantuan RM500 sebulan selama tiga bulan berturut-turut melibatkan peruntukan RM30 juta.

“Saya juga sudah berhubung dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk bantuan melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) dan Dana Kreatif Malaysia kepadanya. sukarelawan akan memantau kelangsungan hidup bapa tunggal itu dengan anak perempuannya Nur Azalea Zafirah berusia 6 tahun,” katanya.

Semalam, tular sebuah video yang telah dimuat naik ke laman media sosial memaparkan pemuzik ini yang membuat pemakluman kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai bebanan yang sedang ditanggung dirinya untuk menyara anak perempuannya berikutan pandemik COVID-19.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *