Rina Harun turun padang bantu mangsa tragedi kepala air

 Rina Harun turun padang bantu mangsa tragedi kepala air

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa tragedi kepala air di Kampung Setol, Yan, Kedah

KUALA LUMPUR, 4 Sept — Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat perihatin dengan nasib keluarga mangsa tragedi fenomena kepala air Gunung Jerai yang rata-ratanya mengalami kerugian akibat fenomena tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun memberi jaminan pihaknya akan sentiasa membantu untuk melengkapkan segala keperluan keluarga-keluarga mangsa yang terjejas teruk akibat fenomena kepala air tersebut.

“Alhamdulillah sebentar tadi saya telah menyantuni serta meninjau keperluan dan tindakan intervensi terhadap keluarga mangsa-mangsa tragedi kepala air di Kampung Setol, Yan, Kedah.

“Rata-rata mereka terjejas teruk malahan ada yang mengalami kerugian mencecah belasan ribu ringgit apabila hampir kesemua peralatan elektrik dan perabot musnah dalam kejadian ini.

“Insya-Allah saya akan sentiasa bantu untuk melengkapkan segala keperluan mereka,” katanya dalam entri terbaharu di akaun Facebook rasminya.

Jelas Rina, kehadirannya bersama sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Sukarelawan Skuad Prihatin Negara dan barisan Srikandi BERSATU Malaysia bertujuan untuk melaksanakan gotong-royong bagi mempercepatkan proses pembersihan kawasan rumah yang terjejas.

Menurutnya, keadaan sekitar rumah yang terjejas teruk akibat tinggalan lumpur yang tebal telah menyebabkan air bertakung sehingga menyukarkan proses pembersihan.

“Keadaan sekitar rumah pula terjejas teruk apabila tinggalan lumpur yang tebal telah menyebabkan air bertakung sehingga menyukarkan proses pembersihan.

“Malah, kerja-kerja pembersihan masih tidak dapat diselesaikan kerana terlalu banyak kesan kotoran yang perlu dicuci.

“Biarlah sedikit kotor, asalkan beban mangsa sedikit berkurangan.

“Saya berharap agar semua mangsa kejadian ini terus tabah dalam menghadapi ujian yang menimpa.

Rina juga turut menyampaikan bantuan berupa Tabung Bantuan Segera (TBS) dan Bakul Prihatin Negara (BPN) kepada keluarga mangsa fenomena kepala air daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Turut diserahkan berupa Sumbangan Prihatin, Kotak Kasih Prihatin dan barangan elektrik daripada Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

 

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

37  −  32  =