RFID dilaksana di PLUS bermula 15 Jan 2022

 RFID dilaksana di PLUS bermula 15 Jan 2022

KUALA LUMPUR – Bermula 15 Januari 2022, transaksi tol menggunakan teknologi Radio Frequency Identification (RFID) akan dilaksanakan untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) di laluan Juru, Pulau Pinang hingga Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan.

Menurut kenyataan Kementerian Kerja Raya, dengan pelaksanaan ini, seluruh jaringan infrastruktur lebuhraya bertol di Pantai Barat Semenanjung Malaysia akan menyediakan lorong RFID bagi memberi perkhidmatan yang lebih mudah, selamat dan pantas kepada pengguna lebuhraya.

“Transaksi tol RFID adalah langkah Kementerian Kerja Raya (KKR) ke arah mengurangkan kesesakan di plaza tol. Ia bertepatan dengan keperluan dan kehendak pelanggan lebuhraya serta selari dengan perkembangan teknologi masa kini. Pelaksanaan RFID mulai 15 Januari 2022 ini juga selaras dengan Rancangan Induk Sistem Pengangkutan Pintar (Intelligent Transport System – ITS Blue Print) yang diterajui oleh KKR termasuklah pelaksanaan Sistem Tol Aliran Bebas Pelbagai Lorong (Multi Lane Free Flow – MLFF).

“Dengan RFID, pelanggan berpeluang menikmati perjalanan lebih lancar tanpa henti di lorong RFID dengan kelajuan 30km/j. Selain itu, RFID turut membolehkan pelanggan melaksanakan transaksi tol tanpa sentuh bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

RFID juga menawarkan sekuriti tunai digital dan tambah nilai tanpa tunai melalui penggunaan Touch ‘n Go eWallet tanpa perlu lagi mengunjungi kaunter tambah nilai malah Tag RFID juga boleh diperolehi dengan kos yang rendah dan berpatutan.

“Kutipan tol menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG masih lagi disediakan pada ketika ini. Namun, kedua-dua kaedah tersebut (kad Touch ‘n Go dan SmartTAG ) akan dihentikan secara berperingkat bagi memberi peluang untuk lebih banyak lorong RFID disediakan di lebuhraya sebelum pelaksanaan MLF,” katanya.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

39  −    =  37