• Sunday, 20 June 2021, 8:22 am

Rezeki tembikai besarkan sembilan anak

 Rezeki tembikai besarkan sembilan anak

Rapiah Husin dan anaknya, Husaini Abdullah bersama hasil tembikai jenis boci kebun mereka di Kampung Ubai.

KUANTAN, 8 Jun – “Dengan hasil jualan buah tembikai saya membesarkan sembilan anak, lebih 40 tahun saya terbabit dengan projek pertanian berkenaan.

“Jejak saya kini diteruskan dua anak lelaki yang mengusahakan tanaman tembikai di Kampung Ubai secara komersil,” kata warga emas Rapiah Husin, 69.

Menurutnya, pengalaman menanam tembikai kini dikongsi dengan dua anaknya yang kini sepenuh masa terbabit dengan pertanian secara komersil di Kampung Ubai sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, walaupun dia kini tidak lagi terbabit dengan aktiviti menanam tembikai kerana faktor usia dan kesihatan namun semangat terhadap projek pertanian tetap terus bercambah dalam dirinya.

“Saya kini hanya membantu menjual buah tembikai ditepi Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai, sebahagian buah hasil kebun anak saya jual bagi mengisi masa terluang.

“Saya juga turut membantu aktiviti mengawinkan bunga tembikai jenis boci bagi menghasilkan buah yang berkualiti,” kata nenek kepada lapan cucu itu.

Rapiah Husin sentiasa berkongsi pengalaman dengan anaknya, Husaini Abdullah yang mengusahakan tanaman tembikai jenis boci kebun mereka di Kampung Ubai.

Beliau berkata, mengusahakan tanaman tembikai hari ini lebih mudah dan cepat berbanding sebelum ini kerana semua aktiviti dilakukan menggunakan jentera selain peralatan moden lain.Kebun yang luas tidak menjadi masalah untuk diusahakan setiap tahun.

Rapiah berkata, dia gembira melihat dua anaknya mengikut jejaknya mengusahakan tanaman tembikai termasuk labu manis, mereka kini meniti kejayaan dalam bidang pertanian yang terkenal di Kampung Ubai sejak sekian lama.

“Saya juga berbangga melihat ramai generasi muda di Kampung Ubai terbabit dengan sektor pertanian, kebanyakan mereka mengikut jejak ibu bapa masing-masing yang sebelum ini mengusahakan tanaman tembikai.

“Tanaman tembikai begitu sinonim dengan Kampung Ubai, produk berkenaan dianggap istimewa kerana kualitinya,” katanya yang sentiasa mendapat sokongan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Pahang.

Bagi Husaini Abdullah, semangat pertanian yang ada dalam diri ibunya kini turun kepadanya, dia sanggup melepaskan jawatan dengan universiti tempatan semata-mata untuk memberi sepenuh tumpuan pada aktiviti bercucuk tanam.

“Selain menanam tembikai jenis boci saya juga menanam labu manis, aktiviti pertanian itu dijalankan sepanjang tahun. Pendapatan diterima menguntungkan walaupun berhadapan banyak cabaran.

“Antara cabaran yang sedang dilalui kini apabila kerajaan dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang membataskan aktiviti jualan hasil tanaman,” katanya.

Mohd Fikri Mie

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *