Rezeki solat Tarawih ketika pandemik

 Rezeki solat Tarawih ketika pandemik

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 18 Mac — Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini memberikan lampu hijau bagi membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau di seluruh negara.

Berita gembira itu memberikan rasa lega kepada seluruh umat Islam di Malaysia yang jelas tidak dapat menahan rasa rindu menunaikan solat tarawih selepas pandemik COVID-19 pada tahun lalu.

Menurut Ketua Imam Masjid At-Taqwa TTDI, Ahmad Saufi Mustaffa berkata pihaknya menekankan kepentingan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MKN dan pejabat agama.

“Jika COVID-19 merebak semula, sudah pasti kebenaran solat tarawih dan Aidilfitri akan ditarik balik. Kita semua tidak mahu perkara ini berulang kerana kita tahu betapa peritnya tidak dapat menunaikan solat tarawih dan Aidilfitri ini.

“Jadi, pematuhan SOP ini bukan sahaja terletak di tangan pihak masjid sahaja, malah pihak jemaah juga harus terlibat sama,” katanya kepada Wacana.my.

Kata Ahmad Saufi, pihaknya telah meneliti setiap arahan yang dikeluarkan MKN dan pejabat agama bagi mendapatkan kebenaran solat tarawih.

Tambahnya, bagi melaraskan SOP yang ditetapkan MKN dan pejabat agama, hanya bacaan surah pendek dibenarkan bagi mengurangkan risiko penyebaran COVID-19.

“Dengan penjarakan sosial dan fizikal 1.5m, masjid ini mampu menampung 1200 orang untuk solat Terawih dan Aidilfitri. Sebagai langkah SOP, setiap jemaah perlu mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera, rekod suhu, memakai pelitup muka serta membawa sejadah sendiri.

“Pihak masjid menggunakan konsep ‘first come, first serve’, jadi seluruh umat Islam harus mengambil peluang keemasan ini untuk melepaskan rindu solat Terawih,” katanya.

Sementara itu, menurut Syafiq Kamaldin, 26, kebenaran melakukan solat tarawih dan Aidilfitri adalah sebuah nikmat dan peluang yang tidak sepatutnya dilepaskan semua umat Islam.

“Tahun lepas berasa janggal kerana pertama kali dalam hidup tidak dapat menunaikan solat tarawih, jadi saya jangka solat tarawih dan Aidilfitri kali ini adalah lebih meriah.

“Jika dilihat secara positif, ianya adalah peluang bagi umat Islam untuk melepaskan rindu suasana puasa dan hari raya,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

37  −  30  =