• Sunday, 20 June 2021, 2:01 pm

Revolusi teleskop praktikal  bermula abad ke-17

 Revolusi teleskop praktikal  bermula abad ke-17

TELESKOP adalah suatu peralatan yang membantu untuk membesarkan saiz objek yang jauh dan menambah baik pandangan objek-objek yang dicerap. Secara umumnya, objek cerapan boleh terdiri daripada jenis objek di daratan atau angkasa.

Teleskop praktikal pertama yang telah dibuat adalah di Belanda pada awal abad ke-17 menggunakan kanta-kanta kaca. Dalam beberapa dekad, teleskop pantulan telah dibuat menggunakan cermin-cermin. Pada abad ke-20 kebanyakan jenis-jenis teleskop baru telah dibuat, termasuk teleskop radio dalam tahun 1930-an dan teleskop infra-merah dalam tahun 1960-an. Jenis teleskop adalah seperti berikut:

Teleskop Pembias (Refractor)

Teleskop ini menggunakan kanta untuk mengumpul cahaya. Kanta diletakkan di hujung hadapan tiub teleskop. Cahaya akan memasuki ruang hadapan teleskop melalui kanta lalu membiaskan imej di titik fokus (kanta mata). Oleh kerana cahaya yang melalui kanta akan mengalami pesongan, maka gabungan dua kanta berlain jenis akan digunakan atau cantuman di antara kanta cembung dengan kanta cekung. Teleskop ini lebih tahan lama tetapi ia amat mahal jika menggunakan kanta yang baik. Imej yang dipaparkan adalah tegak bukan terbalik.

Rajah 1. Contoh Teleskop Pembias

 

Teleskop Pantulan (Reflector)

Teleskop jenis ini menggunakan cermin untuk mengumpul cahaya. Cahaya yang memasuki bahagian hadapan teleskop dan terpantul pada objektif utama. Cerminnya adalah lebih murah untuk dibuat. Tetapi sistem optik dalam teleskop ini adalah lebih rumit berbanding teleskop pembias. Walau pun begitu, teleskop terbesar dunia yang terletak di Kepulauan Canary, Sepanyol menggunakan teleskop jenis pantulan.

Rajah 2. Contoh Teleskop Pantulan

Rajah 3. Teleskop terbesar dunia. Gran Telescopio Canarias (GTC)

 

Spesifikasi ringkas sebuah teleskop

  1. Apertur

Apertur adalah bukaan saiz cermin atau kanta sesebuah teleskop. Saiz teleskop biasanya disebut berdasarkan saiz apertur ini. Contohnya, sebuah teleskop bersaiz 8 inci bermaksud diameter kanta atau cermin adalah 8 inci. Lebih besar diameter apertur ini, lebih banyak cahaya dapat dikumpul. Imej yang terhasil akan lebih jelas dan cerah.

  1. Resolusi

Secara teorinya saiz teleskop 8 inci mempunyai dua kali ganda resolusi teleskop bersaiz 4 inci. Imej yang terhasil dapat dilihat dua kali ganda lebih terperinci dan jelas.

  1. Jarak Fokal (f)

Jarak fokal (f) adalah jarak antara kedudukan cermin primer atau kanta dengan titik cahaya menumpu (titik fokus) atau kanta mata (eyepiece).

  1. Kanta mata (eyepiece)

Ianya komponen kanta yang digunakan untuk membesarkan imej. Saiz sesuatu kanta mata (eyepiece) ditunjukkan oleh jarak di antara kanta dalam binaan kanta mata.

  1. Lekapan (Mount)

Lekapan teleskop adalah struktur mekanikal yang menyokong sebuah teleskop. Lekapan teleskop direka untuk menyokong jisim teleskop dan membenarkan pengarahan yang tepat peralatan itu.  Antara lekapan yang biasa digunakan adalah jenis Fork, Equatorial dan Altazimut.

Fork                                 Equatorial           Altazimut/Alt-Az

Rajah 4. Jenis-jenis lekapan (Mount)

Keupayaan teknologi masa kini telah menghasilkan teleskop yang mudah untuk digunakan dengan harga berpatutan. Teleskop masa kini dilengkapi dengan pelekap jenis pelekap Go To yang dikawal oleh komputer kecil. Ini membolehkan teleskop dihalakan ke sasaran di langit secara automatik. Perkembangan teknologi teleskop ini diharap dapat membangkitkan rasa minat dalam bidang astronomi ini terutama kepada golongan pelajar-pelajar di Malaysia secara khusus dan masyarakat amnya.

Teks ini disediakan oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.             

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *