Rentas sempadan dilaksana mengikut kuota harian – Hasni

 Rentas sempadan dilaksana mengikut kuota harian – Hasni

Hasni ketika menjawab soalan dalam persidangan DUN Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

ISKANDAR PUTERI – Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa pembukaan sempadan akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik bagi membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

Justeru, Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad menjelaskan bahawa pendekatan yang bersesuaian adalah dengan menetapkan kuota harian bagi aktiviti  rentas sempadan. 

“Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti ini tidak menjejaskan kepentingan kesihatan awam,ujian saringan COVID-19 yang boleh memberikan  keputusan pada kadar segera serta tidak membebankan warganegara Malaysia akan dilaksanakan.

“Selain itu, pelbagai isu perlu diberikan penekanan dan perhatian termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua buah negara.

“Bagitu juga kapasiti semasa Tambak (Causeway) dan juga LinKedua, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi oleh Malaysia dan

Singapura, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa perlu diberi perhatian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian menjawab soalan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) bilakah sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka sepenuhnya dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Hasni berkata, walaupun pembukaan sempadan negara adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu  antara dua buah negara, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan pergerakan rentas sempadan dapat direalisasikan.

Jelasnya, ini terutamanya untuk rakyat Malaysia yang berulang-alik ke republik tersebut dan beberapa pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan. 

“Kerajaan Negeri Johor sentiasa dilibatkan secara langsung dalam usaha pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura.

“Pada 27 September 2021, Kerajaan Negeri Johor telah membentangkan cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang terkini bagi tujuan ulang-alik antara Malaysia dan Singapura dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik Bilangan 37/2021,” katanya.

Menurutnya, satu pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pembukaan Sempadan yang terdiri daripada pelbagai agensi-agensi Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. 

Pasukan itu akan memberi tumpuan dalam usaha pembukaan sempadan darat bagi memudahkan urusan pergerakan warganegara khususnya pekerja antara kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

72  −    =  66