Rentas negeri kejayaan ‘blueprint’ kepimpinan Muhyiddin

 Rentas negeri kejayaan ‘blueprint’ kepimpinan Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 11 Okt — Kebenaran rentas negeri bermula pada Isnin disifatkan sebagai kejayaan hasil ‘blueprint’ daripada kepimpinan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, ia jelas menunjukkan apa yang telah dirancang dan dilaksanakan kerajaan benar-benar berkesan.

“Segala puji bagi ALLAH, Tuhan sekalian alam dengan nikmat yang diberikan-Nya untuk kita diberi keizinan rentas negeri, berjumpa dengan sanak saudara dan keluarga yang lama terpisah.

“Kehidupan rakyat kembali pulih walaupun tidak lagi seperti dahulu. Tiada lagi kedengaran ‘kerajaan gagal’. Tiada lagi tuduhan biadab daripada penghasad yang mahu gagalkan usaha pemulihan negara yang dirancang beliau,” coretnya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional berkata, bukan mudah menguruskan pandemik yang tidak pernah berlaku di seluruh dunia hampir 100 tahun lamanya.

Katanya, biarpun ditohmah, diganggu gugat dari musuh luar dan dalam, Muhyiddin yang merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tetap mengutamakan rakyat.

“Ya, beliau tidak sempurna seperti kita semua tapi beliau tidak sesekali lari daripada medan perjuangan.

“Malah, beliau berjiwa besar dengan mendirikan semula kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dijatuhkan agar agenda pemulihan negara tetap berjalan walaupun bukan lagi mengemudi kerajaan.

“Syabas dan tahniah kepada semua ahli jemaah menteri, barisan penjawat awam dan golongan barisan hadapan yang menjayakan misi Program Imunisasi Covid Kebangsaan (PICK),” ujar beliau.

Wan Ahmad Fayhsal turut meminta semua pihak untuk memberikan tumpuan kepada fasa pemulihan negara yang seterusnya agar keamanan dan kemakmuran dapat dikecapi bersama sebagai sebuah #KeluargaMalaysia.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *