Remaja dipukul cuba larikan diri selepas akibatkan kemalangan

 Remaja dipukul cuba larikan diri selepas akibatkan kemalangan

Seorang remaja lelaki cedera dipukul pengguna jalan raya selepas terlibat kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Taman Cendana-Masai

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 18 April – Seorang remaja lelaki dibelasah pengguna jalan raya yang berang ketika cuba melarikan diri selepas mengakibatkan seorang wanita yang menunggang motosikal cedera parah dalam kemalangan di Jalan Taman Cendana-Masai, Kong Kong, di sini Jumaat lepas.

Kejadian itu berlaku jam 3.30 petang ketika hujan melibatkan kereta dipandu remaja tersebut, 18, dan sebuah motosikal ditunggang seorang wanita, 38, di persimpangan lampu isyarat jalan berkenan.

Difahamkan, ketika kejadian kereta dipandu remaja tersebut melanggar lampu merah dan mengakibatkan motosikal wanita itu melanggarnya sebelum suspek cuba melarikan diri namun dapat dihalang pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, kaki dan tangan serta menerima rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru manakala pemandu Proton Wira tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Bagaimanapun, pengguna jalan raya yang tidak dikenali berada di tempat kejadian bertindak memukul remaja tersebut.

Remaja berkenaan mengalami kecederaan di kepala, kaki sebelah kanan, hidung patah, pipi cedera, jari manis dan kelengking patah termasuk kecederaan lain yang belum pasti.

Mohd Sohaimi memberitahu, remaja berkenaan menerima rawatan di Hospital Columbia di sini dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Susulan tindakan beberapa orang awam yang memukul pemandu (remaja) kereta itu dan beberapa mangsa yang lain, pihak polis membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata berbahaya sehingga mendatangkan cedera.

“Polis akan mengesan dan menangkap pelaku yang terlibat,” katanya sambil menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan secara sendiri dan menyerahkan kepada polis serta bertindak mengikut undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau saksi kejadian agl.r dapat tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke balai polis berhampiran atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  6