Rela berlapar demi 30 si bulus di rumah

 Rela berlapar demi 30 si bulus di rumah

ROMPIN, 19 Jun – “Kami lebih rela berlapar asalkan semua 30 kucing mendapat makanan secukupnya setiap hari. Setiap bulan lebih RM1,600 dibelanjakan untuk haiwan terbabit.
“Kami tinggal serumah seperti satu keluarga besar tanpa sebarang masalah dan haiwan manja serta mesra ini menjadi pengganti kepada cahaya mata yang hingga kini masih belum diperoleh,” kata Roshaliza Roslan, 39.

Katanya, bermula dengan memiliki seekor kucing empat tahun lalu, dia dan suami, Mohd Yadzil Mat Yasin, 44, kini memiliki lebih 30 kucing pelbagai jenis saiz dan umur ditempatkan dalam satu bilik khas.

Roshaliza yang sudah 17 tahun hidup bersama suaminya berkata, haiwan berkenaan memerlukan pasir sebagai tandas, vitamin dan rawatan di klinik bagi memastikan kesihatannya sentiasa berada dalam keadaan baik, selain menyediakan makanan khas setiap dua hingga tiga kali sehari.

Roshaliza Roslan menyediakan lebih RM1,600 untuk makanan 30 kucingnya. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Biar saya dan suami sanggup berlapar asalkan kucing peliharaan kami mendapat makanan yang secukupnya, kasih sayang pada haiwan terbabit begitu menebal hingga tidak dapat dipisahkan walaupun sehari.

“Setiap kucing saya diberi nama seperti Oyen, Bella, Putih, Bidan, Oren, Janda, Sibodan Omey…haiwan manja terbabit tidak menimbulkan masalah walaupun tinggal serumah,” katanya yang tinggal di Kampung Pantai Bernas, dekat Rompin.

Menurutnya, setiap kucing mempunyai perangai berbeza seperti sentiasa aktif, suka dibelai serta manja dan terdapat juga yang mudah merajuk dan makan perlu disuap.
Katanya, kebanyakan kucing peliharaannya baka tempatan dan hanya beberapa ekor sahaja baka import kacukan, masing-masing mempunyai keistimewaan tersendiri.

Roshaliza Roslan dan suaminya, Mohd Yadzil Mat Yasin menyertai pertandingan kucing. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Selain kucing jalanan dan pemberian jiran, saya ada membeli haiwan berkenaan dengan harga tidak terlalu mahal, selain kucing buangan sakit dan cedera yang dirawat serta dipelihara hingga kini.

“Saya menganggap semua kucing peliharaan sebagai anak…sifat kasih sayang sepenuhnya dicurahkan kepada haiwan terbabit. Dunia saya dan suami akan sunyi tanpa kucing di sisi,” katanya yang sebelum ini turut menyertai pertandingan kucing di negeri ini.

Sementara itu, Mohd Yadzil yang mengusahakan bengkel kenderaan di bandar Rompin berkata, kejadian seekor kucing bernama Oren dicuri jiran empat tahun lalu, memaksa dia melakukan pelbagai usaha mencari hingga mendapat bantuan bomoh.

Roshaliza Roslan dan suaminya, Mohd Yadzil Mat Yasin membawa kucingnya bersiar dengan kenderaan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Minat mendalam kepada kucing peliharaan membolehkan saya dan isteri tinggal sebumbung dengan haiwan terbabit sejak enam tahun lalu dan jelas tidak ada sebarang masalah memiliki haiwan dengan jumlah yang banyak.

“Hidup kami suami isteri bahagia dikelilingi haiwan manja terbabit walaupun tidak memiliki cahaya mata, semua kucing umpama anak kecil yang begitu manja dan suka dibelai,” katanya yang tidak pernah merasa terbeban menyara 30 kucing.

Mohd Yadzil berkata, kebanyakan kucing dewasa dikasi bagi mengelak pembiakan tidak terkawal berlaku dan bayaran RM70 hingga RM120 diperlukan untuk melakukan proses terbabit di klinik haiwan

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  9  =