Razlan Jofri Ali: Martabatkan Kerjaya Seorang Pengadil

 Razlan Jofri Ali: Martabatkan Kerjaya Seorang Pengadil

Razlan Jofri Ali tenang mengawal situasi yang tegang.

KELIBAT pengadil dalam aksi perlawanan akhir sentiasa menjadi tumpuan, lebih-lebih lagi bagi di Malaysia yang sedia maklum sentiasa ‘ada sahaja yang tidak kena’.

Namun berbeza pula dengan aksi Piala Malaysia 2021 yang menyaksikan Kuala Lumpur FC menang 2-0 ke atas Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Selasa malam yang dilihat berjalan lancar tanpa sebarang kritikan terhadap pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali.

Acap kali tindakan individu bergelar pengadil di tengah padang dicemuh penyokong. Setiap tindak tanduk pengadil sering menjadi perhatian sehingga dijadikan bahan cemuhan peminat.

Tetapi tidak ramai yang akan menghargai kehadiran dan apa yang dilakukan mereka sehingga menjadikan sesebuah perlawanan bola sepak itu menjadi menarik untuk disaksikan.

Disebabkan itu, pujian juga harus diberikan kepada pengadil perlawanan, Razlan Jofri Ali yang diberikan amanah dan tanggungjawab mengadili perlawanan pada malam tadi.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 juga bukan perlawanan akhir pertama yang dikendalikannya. Sebelum ini  Razlan turut pernah mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2017, melibatkan pertemuan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah, Piala Sumbangsih 2020 (JDT dengan Kedah), penolong pengadil final Piala Malaysia 2019 (JDT menentang Kedah) dan penolong pengadil final Piala FA 2019, dalam pertemuan Perak dengan Kedah bergandingan dengan tiga lagi pengadil jemputan dari Jepun diketuai Takuto Okabe.

Beberapa insiden yang berpotensi ‘menjadi panas’ turut dikendalikan dengan baik oleh Razlan dalam perlawanan semalam. Antaranya insiden membabitkan Afiq Fazail dan Akram Mahinan, dan pertembungan di minit akhir perlawanan antara Natxo Insa dan Kenny Pallraj – sebelum pemain pertahanan KL City FC itu digantikan kerana kecederaan.

Bagi sesetengah pengadil melayangkan kad kepada pemain adalah langkah yang mudah untuk mengawal keadaan tetapi tidak bagi Razlan, beliau seperti mengelak untuk melayangkan kad kepada pemain, selagi situasi berada di dalam kawalan untuk tidak menganggu rentak perlawanan.

Untuk mengatakan perlawanan malam tadi adalah sempurna mungkin agak sukar kerana pengadil juga adalah manusia biasa dan tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak terutamnya pasukan JDT dan KL City FC.

Wacana merasakan Razlan Jofri Ali telah mengadili dan mengawal perlawanan akhir Piala Malaysia pada malam tadi dengan cukup cemerlang.Pastinya cerita yang kurang enak mengenai kesilapan pengadil tidak di debatkan oleh para netizen.Tahniah Razlan Jofri Ali

Azlan Abdollah

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

90  −  89  =