‘Ravi Everest’ nekad lakar sejarah sekali lagi

 ‘Ravi Everest’ nekad lakar sejarah sekali lagi

KUALA LUMPUR, 20 Jan – Pendaki solo negara, Ravichandran Tharumalingam atau dikenali sebagai Ravi Everest bakal mengulangi sejarah apabila bakal menawan Gunung Everest sekali lagi pada Mei ini.

Beliau berkata, impian itu akan direalisasikan bersama-sama seorang lagi pendaki, selepas tertunda sejak 2020.

“Di Malaysia latihan kita lebih kepada fizikal sebab latihan kita sudah mulakan sejak Oktober lagi, projek ini sebenarnya tergendala daripada 2020. Disebabkan pelbagai halangan pandemik sebelum ini,” katanya pada sidang media pada Rabu,

Beliau berkata, latihan fizikal akan diadakan secara serius bermula Februari ini yang mana Ravi akan menjelajah ke Sabah dan Sarawak demi meningkatkan staminanya.

Foto sumber Global Expedition

“Kita akan bermula latihan dengan beberapa siri latihan. Untuk mengelakkan kecederaan kita akan berehat pada minggu kedua dan ketiga pada bulan Mac minggu keempat kita berangkat ke Nepal untuk mendaki ke gunung Everest,” tambahnya.

Dalam membuat persediaan untuk menjadikan impiannya realiti, Ravi berkata, beliau bakal menjalinkan kerjasama dengan Syarikat Malaysia Pro Wrestling Sdn Bhd yang mengeluarkan air minuman oksigen.

Selepas lebih kurang dua bulan mencuba air MYPW, Ravi memberitahu, produk tempatan itu dilihat dapat membantu pendaki mengembalikan tenaga khususnya mengembalikan kandungan oksigen dalam badan.

Justeru katanya, MYPW akan membekalkan air beroksigen kepadanya dan seorang lagi pendaki sehingga ke puncak Gunung Everest.

“Salah satu cabaran pendaki pada ketinggian lebih 7,000 meter adalah keadaan kandungan oksigen yang selalu berkurangan. Akibat itu kita terpaksa bergantung dengan bekalan oksigen menggunakan tong oksigen dan membawa memikul tiga hingga empat liter, banyak juga beban untuk pendaki,” katanya.

Menurut beliau, pendakian yang dijangka bermula pertengahan Mac ini akan mengambil massa kira-kira dua bulan.

Terdahulu Ravi berkata, beliau bakal menawan gunung Everest kali ketiga, selepas 2006 dan 2007.

Menjadi pendaki solo negara, beliau mengakui berhadapan dengan cabaran mendapatkan tajaan daripada syarikat-syarikat besar namun nekad untuk tidak mahu menggunakan kerajaan sebagai medium untuk mencapai cita-citanya itu.

Jelas Ravi, ini kerana beliau prihatin dengan nasib rakyat yang semakin dihimpit kos sara hidup berikutan penularan Covid-19.

“Kita memang sukar dapat tajaan sebab kita bergerak sendiri, bukan atas nama persatuan besar tapi saya tidak mahu menyusahkan kerajaan kerana saya rasa duit kerajaan perlu digunakan oleh rakyat yang memerlukan,” kata Ravi.

Terdahulu, katanya kos pendakian gunung Everest bermula dengan bertolak daripada Malaysia adalah kira-kira RM40,000.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  3