Ras Adiba saran ibu bapa, penjaga OKU, dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi

 Ras Adiba saran ibu bapa, penjaga OKU, dimasukkan dalam fasa kedua Program Imunisasi

KUALA LUMPUR, 30 April — Kerajaan diminta agar memasukkan ibu bapa dan penjaga kepada orang kurang upaya (OKU) dalam fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan agar mereka boleh diberi keutamaan untuk menerima suntikan vaksin itu.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata mereka ini juga wajar dilindungi seperti barisan hadapan kerana mereka bertanggungjawab dalam menjaga, memantau serta membantu memenuhi semua keperluan harian OKU yang kronik dan lemah.

“Jutaan terima kasih atas keprihatinan kerajaan kerana melibatkan golongan berisiko tinggi, OKU serta warga emas dalam fasa kedua…bagaimanapun saya ingin memohon jasa baik Menteri Penyelaras Program ImunisasiĀ COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin untuk menetapkan ibu bapa dan penjaga kepada OKU dalam fasa kedua ini juga.

“Jikalau ibu bapa atau penjaga ini tidak sihat atau terdedah kepada COVID-19 maka tiada sesiapa yang boleh membantu keperluan OKU itu dan ini akan menyebabkan OKU itu mengalami pelbagai masalah serta masalah kesihatan mental yang boleh mendorong mereka sehingga cubaan bunuh diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata memandangkan kanak-kanak OKU yang berisiko tinggi mengalami morbiditi tidak tersenarai dalam program vaksinasi atas faktor usia, maka adalah penting untuk individu berdekatan mereka menerima suntikan vaksin itu.

“Penting untuk memastikan individu-individu yang berdekatan atau sekeliling OKU diberikan keutamaan dalam program vaksinasi ini supaya dapat mengelakkan penularan wabak COVID-19 dalam kalangan OKU serta ia juga dapat melindungi nyawa kanak-kanak OKU,” katanya.

Justeru beliau memohon agar pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dapat memandang perkaraĀ itu dengan serius bagi memastikan dan melindungi kanak-kanak OKU dan penjaga mereka yang dikategorikan sebagai golongan rentan yang wajar diberi perhatian.

“Saya pasti dengan adanya sistem sokongan yang bertepatan dengan keperluan pembangunan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 iaitu untuk memperkukuh inklusiviti ke arah masyarakat yang saksama akan tercapai.

“Komitmen untuk merealisasikan hak orang kurang upaya bukan hanya soal keadilan; ia adalah pelaburan untuk masa depan bersama. Pendekatan bersepadu diperlukan untuk memastikan bahawa orang kurang upaya tidak ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata hak dan martabat golongan OKU perlu dan tetap dijadikan satuĀ daripada agenda teras untuk diperkasakan supaya kemakmuran bumi dapat dimanfaat serta dikongsi bersama.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

45  −  41  =