Rampasan ketum terbesar di Johor

 Rampasan ketum terbesar di Johor

Oleh Nurman Nasyriq

KULAI, 12 Jun – Polis membuat rampasan terbesar daun ketum di negeri ini dengan merampas 380 kilogram (kg) dan 180 liter air ketum dengan nilai keseluruhan RM7,000 selepas menyerbu sebuah rumah di Jalan Sri Putri 12/3, Taman Putri, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, dalam serbuan itu, sepasukan polis bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai menahan dua lelaki berusia 39 dan 45 tahun.

Katanya, kegiatan dua penganggur yang aktif sejak Februari lalu terbongkar hasil maklumat orang awam dan risikan polis selama dua minggu.

Beng Yeow (tengah) menunjukkan daum ketum yang dirampas di sebuah rumah di Taman Putri, Kulai semalam

“Serbuan dibuat pada pukul 9 pagi di rumah tersebut dan menahan dua lelaki yang sedang memunggah daun ketum itu ke dalam rumah.

“Polis merampas 50 peket plastik lutsinar disyaki mengandungi daun ketum dan empat buah tong air batu yang setiap satunya berisi 30 peket plastik lutsinar disyaki air ketum,” katanya dalam sidang media di IPD Kulai, di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas peralatan disyaki digunakan oleh kedua-dua suspek memproses ketum, iaitu tong periuk, set dapur, penapis besi, gayung, penyenduk dan alat penimbang.

Daun ketum yang dimasak dicampurkan dengan ubat batuk dijual RM15 sebungkus manakala daun ketum yang belum dimasak pula dijual RM50 sekilogram.

“Kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam memproses dan mengedar ketum. Semakan rekod lampau didapati mereka masing-masing mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

“Reman akan dipohon ke atas kedua-dua suspek di Mahkamah Majistret Kulai pada hari ini,” katanya sambil memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  4  =  2