Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Ramai pesakit COVID-19 alami sindrom ‘Long COVID’

Oleh Suraya Ali
KUALA LUMPUR, 12 Jun — Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati 66 peratus pesakit COVID-19 di negara ini mengalami Long COVID atau sindrom Post-COVID.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, peratusan tersebut didapati daripada ujian klinikal melibatkan 1,004 pesakit kategori 4 dan 5 yang menerima rawatan susulan selepas mereka dibenarkan keluar hospital.
Tambah beliau, sindrom Long COVID itu merupakan suatu keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan gejala-gejala bagi tempoh 12 minggu atau lebih.
Katanya, gejala-gejala tersebut tidak dapat dijelaskan dengan sebarang diagnosis alternatif.
“Keadaan ini berpunca daripada komplikasi jangkitan COVID-19 terhadap fungsi pelbagai organ dalam tubuh seseorang individu.
“Data klinikal menunjukkan majoriti pesakit COVID-19 di Malaysia mampu sembuh sepenuhnya namun terdapat segelintir yang terkesan dengan sindrom Post COVID,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Antara simptom yang kerap dialami adalah kelesuan, kesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti, sukar tidur malam, batuk dan kegelisahan.
Sehingga kini, rawatan yang diberikan berdasarkan simptom yang dipamerkan pesakit dan fungsi tubuh yang terlibat.
“Rujukan kepada bidang kepakaran yang berkaitan akan dilakukan bagi memastikan pesakit mendapat rawatan klinikal yang optimum,” katanya.