Ramai pengguna internet tak peduli keselamatan siber – Cybersecurity Malaysia

 Ramai pengguna internet tak peduli keselamatan siber – Cybersecurity Malaysia

KUALA LUMPUR — Masih ramai pengguna Internet di Malaysia tidak cakna, naif dan bersikap tidak peduli mengenai kepentingan keselamatan siber sehingga terpedaya dan seterusnya menjadi mangsa jenayah siber.

Berkongsi maklumat itu, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah CyberSecurity Malaysia (CSM) Jen (B) Tan Sri Mohd Azumi Mohamed berkata perkara tersebut masih berlaku sekalipun banyak usaha dilakukan kerajaan baik dalam bentuk peringatan mahupun kesedaran untuk mereka.

Justeru, beliau berkata kerjasama secara bersepadu dan sokongan semua pihak amat diperlukan untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada rakyat mengenai kepentingan keselamatan siber.

“Dalam konteks ini, media merupakan antara ejen kolaborator yang sangat penting bagi penyebaran maklumat mengenai pelbagai tindakan, inisiatif dan usaha kerajaan memperkukuh bidang keselamatan siber negara,” katanya ketika berucap bersempena Program CyberSafe Bersama Media, di sini hari ini.

CSM adalah pusat pakar teknikal keselamatan siber di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Program hari ini bertujuan berkongsi maklumat mengenai bidang keselamatan siber serta program terkini yang dilaksanakan oleh CSM supaya pihak media dapat menghasilkan penulisan serta pelaporan yang tepat serta terangkum.

Menurut Mohd Azumi, media amat penting untuk memaklumkan kepada orang ramai mengenai peristiwa serta isu yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Beliau berkata peranan media bukan sahaja sebagai perantara untuk penyebaran maklumat tetapi juga pendorong kuat dalam mewujudkan dan membentuk pendapat umum, selain mampu menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan masyarakat.

“Kuasa media kini menjadi lebih kuat dalam mempengaruhi persepsi masyarakat terhadap sesuatu perkara apabila teknologi seperti Internet dijadikan sebagai medium penyebaran maklumat dan berita,” katanya.

Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerima penghargaan ‘Media Paling Menyokong’ tahun 2019 bagi kategori Organisasi, yang diterima Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datuk Mokhtar Hussain.

Bernama.com pula menerima penghargaan bagi kategori Dalam Talian, manakala Bernama TV untuk kategori Televisyen.

Selain itu, Raziyaza Mohammed dan Erda Khursyiah Basir merupakan dua wakil Bernama meraih penghargaan sebagai ‘Pengamal Media Paling Menyokong’.

Majlis penghargaan itu sepatutnya berlangsung pada Disember tahun lepas di Kuantan, Pahang, namun ditunda akibat pandemik COVID-19.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  1  =