Rakyat yang berkuasa

 Rakyat yang berkuasa
Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

 

DI DALAM Dewan Senat Amerika Syarikat (AS) semalam, undian yang diperlukan untuk melaksanakan pendakwaan terhadap bekas Presiden Donald Trump tidak mendapat dua pertiga undi yang diperlukan. Ini kerana hanya tujuh orang sahaja  ahli parti Republican (parti politik penyokong Trump) yang menyertai parti Demokrat, parti penyokong Presiden AS yang baharu, Joe Biden, yang mengundi untuk Trump didakwa. Senat gagal mendapat dua pertiga undi untuk mendakwa Trump.

Nampaknya parti mana yang menguasai Dewan Senat, dalam kes ini, maka merekalah yang menang  iaitu parti Republican, walau pun parti Demokrat, yang mendapat kemenangan dalam pilihan umum untuk jawatan Presiden, Biden, yang baharu.

Kemenangan Presiden baharu AS dari parti Demokrat itu hasil undian majoriti rakyat untuk jawatan Presiden, yang menyaksikan parti Demokrat menerusi Biden berjaya mengalahkan Trump. Undi yang diberikan oleh suara terbanyak pengundi kepada Presiden Baiden mungkin tidak memandang parti politik yang tertentu dalam pilihan raya umum untuk jawatan Presiden. Mungkin dalam konteks ini, pengundi lebih berpandukan kepada pemerhatian dan wawasan yang berbeza dari undian ahli parti yang tertentu.

Kita di negara ini juga dari segi pemilihan parti pemerintah yang tertentu untuk menguasai negara ini, tidak pernah bertukar dalam tempoh 61 tahun usia kemerdekaan. Namun pada 2018, negara kita telah melahirkan satu senario politik baharu, dengan menukar pemerintah menerusi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Dengan itu nampaknya rakyat Malaysia yang bergabung dalam parti politik yang memerintah selama ini telah terpengaruh dengan pemikiran dan perasaan rakyat majoriti dalam melakukan perubahan yang bersejarah ini dengan menukar kerajaan yang memerintah sehingga menjelangnya PRU15 nanti.

Namun apa-apa yang berlaku dalam masa yang terbaharu, dengan penukaran kerajaan terakhir ini, semua rakyat mengetahui dan mengalami prosesnya. Ini serentak juga dengan ketibaan penyakit badan dan jiwa di seluruh dunia iaitu COVID-19 yang masih bermaharajalela hingga kini, dan keadaan politik negara kita juga sedang dilanda penyakit yang berbagai rupa.

Dengan aliran dan suasana baharu yang sedang kita alami dalam pelbagai bidang kehidupan kini, mungkin ramai sarjana dan ahli profesional, tidak kira parti politik, yang telah mengkaji dan  mengumpulkan data mahupun fakta yang menyebabkan perubahan dalam PRU14 lalu. Kajian dan kesimpulan bagi yang telah dan akan dikaji,  harus dilakukan mengenai perubahan yang berlaku dalam politik negara. Pada umumnya, ia menyebabkan perubahan nilai dan integriti negara sendiri dari beberapa aspek tertentu yang mungkin juga menyebabkan nama baik negara tersentuh dengan keadaan ekonomi dan politiknya sendiri.

AS sendiri nampaknya telah melahirkan ahli politik yang terlalu partisan iaitu yang hanya mementingkan parti politik anutan masing-masing. Namun dakwaan ini mungkin hanya dakwaan semata-mata, kerana masing-masing negara dunia ini mempunyai kepentingan dan dasarnya tersendiri.

Apakah kita di negara ini lebih mementingkan parti daripada kepentingan rakyat umum? Ini mengingatkan pula bahawa Malaysia adalah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum dan bangsa, kepelbagaian budaya, dan yang pentingnya ialah kepentingan Majlis Raja-Raja Melayu yang mempertahankan hak istimewa tertentu seperti tercatat dalam Perlembagaan, terutamanya kedaulatan agama Islam, di samping amalan agama lain yang seharusnya dilaksanakan secara aman dan harmoni.

Rakyat umum yang mempunyai kuasa dalam hal ini.

Jaga alam yang kita diami

PEMBANGUNAN alam sekitar dan perubahannya melibatkan proses yang amat kompleks. Ini mendorong kepada kajian saintifik yang memerlukan ilmu pengetahuan yang mendalam. Isu alam sekitar seperti pencemaran udara, air dan lain-lain tidak mudah dibicarakan secara simplistik, terutama dari sudut pandangan agama sendiri. Isu ini bukan mudah dibicarakan sebagai isu retorika atau takdir secara melulu tanpa mempunyai sebarang penilaian dan analisis undang-undang alam seperti yang banyak diisyaratkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran.

Sandaran kita kepada ayat-ayat Allah mengenai alam sekitar dapat dilihat.┬á Antaranya, dalam Surah Ibrahim, ayat 32 dan 33 yang bermaksud: ÔÇťAllahlah yang menjadikan langit dan bumi, dan menurunkan air (hujan) dari langit, lalu dengan itu Ia keluarkan buah-buahan sebagai rezeki bagi kamu, dan Ia mudahkan bagi kamu kapal bagi kamu supaya ia berjalan di lautan dengan perintah-Nya dan Ia mudahkan bagi kamu sungai-sungai. Dan Ia mudahkan bagi kamu matahari dan bulan yang tetap berjalan, dan Ia mudahkan bagi kamu malam dan siang.”

Dari sini ternyata isu pemeliharaan alam sekitar bukan isu mudah yang boleh diringan-ringankan. Isu ini ditunjangi oleh agama sebagai satu tanggungjawab agama bersumberkan perintah Allah SWT.

Bagaimanapun, seperti sedia maklum, semua kebaikan berasal dari rumah, maka demikian juga isu penjagaan alam sekitar ini seharusnya juga bermula dari rumah. Ini merangkumi aspek membentuk sikap dan kefahaman individu untuk menjadi peka kepada isu-isu alam sekitar. Jadi, pendidikan di rumah memainkan peranan amat penting dalam hal ini.

Persoalan mudah seperti berapa banyak rumah dalam masyarakat kita yang menyediakan bakul sampah di dalam dan di luar rumah?  Persoalan ini menjadi lebih penting untuk dijawab bagi rumah di luar bandar atau di pinggir bandar, terutama apabila sampah-sarap tidak diuruskan pihak berkuasa tempatan.

Di luar bandar, umpamanya adakah penduduknya berusaha menanam sampah-sarap daripada amalan biasa yang mudah selama ini iaitu dengan membakarnya sahaja? Malah kita tahu membakar sampah adalah satu perbuatan mencemar udara yang serius.

Anak-anak yang tidak dididik inilah yang akan keluar ke bandar raya dan sebagainya, dan mereka akan membawa sikap yang sama iaitu tidak peka kepada kebersihan, lalu akan bertindak membuang sampah di merata-rata secara sewenang-wenangnya.

Oleh itu, saya rasa keluarga harus memainkan peranan lebih bersungguh-sungguh melatih anak-anak supaya menjadi orang yang bersih dan peka kepada kebersihan ketika mereka masih kecil lagi. Ini akan terbentuk menjadi sikap yang positif walau di mana saja mereka berada.

Kita mungkin tidak harus bergantung kepada undang-undang seperti denda yang dikuatkuasakan selama ini, kerana ia amat sukar dilaksanakan kerana tidak ada penguatkuasaan yang cukup.

Hal ini saya tegaskan kerana saya beranggapan semua pihak seharusnya peka kepada hal ini dan akan mengambil tindakan sendiri dalam menangani perkara ini.

Sekiranya benar-benar keluarga dan sekolah  memainkan peranan ini secara bersungguh-sungguh, maka saya percaya segala kempen mengenai isu alam sekitar akan berkesan dan akan meninggalkan impak yang baik termasuk penjelasan yang bersumberkan nilai dan ajaran agama.

 

Penulis ialah Ahli Lembaga  Pengarah Institut Integriti Malaysia

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  1  =  1