Rakyat selesa dengan kerajaan sedia ada – Pas Johor

 Rakyat selesa dengan kerajaan sedia ada – Pas Johor

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 13 Jun – Pas Johor menyifatkan rakyat kini sudah selesa dengan kerajaan ketika ini dan mahukan perpaduan ummah terus diperkasakan.

Ketua Penerangan Pas Johor, Rusman Kemin berkata, sebarang usaha untuk menggugat kerajaan sedia ada termasuk rancangan menubuhkan kerajaan baharu sewajarnya ditolak.

Rusman Kemin

“Berita baru yang semakin kuat bertiup kini dengan nama Jajaran Harapan kononnya Pakatan Harapan (PH) bersama-sama UMNO akan bergabung untuk membentuk kerajaan baharu.

“PH semua orang tahu siapa dia. Jangan silap buat kali kedua. Pas punya pengalaman yang panjang bersama-sama mereka yang ada dalam PH. Kami berpesan jangan terpedaya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, wajah sebenar PH yang buruk terserlah menerusi kerosakan pentadbiran mereka yang memberi tekanan kepada rakyat termasuk kepada bukan Melayu.

Pada waktu itu, semua orang mulai sedar perpaduan ummah mesti dikembalikan dan Pas mengambil peluang itu bersama-sama UMNO memperjuangkannya.

“Rakyat seluruh negara bangkit kegirangan melihat Pas dan UMNO bekerjasama. Ramai pemimpin bawahan dan orang kebanyakan berkata, inilah yang selama ini kami impikan,” katanya.

Menurutnya, selepas 22 bulan PH mentadbir negara mereka telah bercakaran sesama sendiri dan akhirnya kerajaan ditadbir mereka rebah, sekali gus berakhir satu tragedi hitam yang menyelubungi negara.

Perpaduan ummah adalah istilah yang dilihat bersifat islamik, namun sesuai bagi Malaysia dengan majoriti penduduknya Melayu dan beragama Islam.

Walaupun bukan konsep pemerintahan kerajaan selama ini, beliau berkata, slogan itu sudah meresap dalam jiwa rakyat termasuk yang bukan Islam, semuanya sepakat berkongsi nikmat dan kekayaan negara.

“Tetapi keadaan ini mula terhakis sedikit demi sedikit dan memuncak apabila PH mengambil alih pentadbiran negara. Keistimewaan Melayu dan Islam sebagai agama bagi Persekutuan telah berani dipertikaikan.

“Tertubuhnya banyak parti bahaaru yang menyebabkan orang Melayu semakin berpecah,” katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

19  −    =  18