Kerjasama UiTM-WTCKL bakal wujud peluang pekerjaan kepada bakal graduan
Rakyat Malaysia dinasihat berwaspada musim hujan

Oleh Iqhram Ahmad
KUALA LUMPUR, 14 April – Berikutan fasa peralihan monsun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa kawasan di seluruh negara dilanda ribut petir, hujan lebat dan angin kencang, khususnya pada waktu petang dan malam bermula pertengahan Mac lalu hingga pertengahan Mei depan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon berkata fasa monsun itu menunjukkan tanda akhirnya Monsun Timur Laut yang bermula 11 Novermber lalu.
“Antara kawasan yang terlibat adalah negeri pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak.
“Keadaan cuaca serta angin kuat yang boleh mencecah 100 kilometer sejam (km/j) turut berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
“Semasa fasa ini, tiupan angin dari pelbagai arah lazimnya akan membawa hujan lebat serta angin kencang dalam jangka masa yang singkat iaitu sekitar 30 minit hingga 2 jam,” katanya kepada Wacana.my.

Selain itu, Jailan berkata pihaknya menjangkakan suhu tidak begitu panas, iaitu dalam 37 darjah Celcius disebabkan fenomena La Nina.
“Tahun lepas, negara kita mencapai suhu sehingga 39 darjah Celcius dan dalam keadaan El Nino yang kuat, boleh mencecah 40 darjah Celcius.
“Saya menasihatkan peniaga dan pengunjung Bazar Ramadhan untuk bersedia bagi sebarang perubahan cuaca seperti angin kuat dan hujan lebat,” katanya.
Selain itu, Jailan menasihati orang ramai untuk lebih berwaspada serta peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MetMalaysia melalui aplikasi myCuaca.
“Melalui aplikasi myCuaca, pengguna boleh menyemak maklumat cuaca terkini selain mendapat amaran bencana seperti Tsunami dan gempa bumi,” katanya.
Aplikasi myCuaca boleh didapati dan dimuat naik di App Store bagi pengguna iOS, dan Google Store bagi pengguna Android.