Rakyat mahu kerajaan tetap tegakkan kedaulatan undang-undang

 Rakyat mahu kerajaan tetap tegakkan kedaulatan undang-undang

KUALA LUMPUR, 22 Jun — Susulan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah untuk kerajaan mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin, rakyat memberikan pelbagai reaksi positif dan menjunjung kasih terhadap Tuanku.

Pakar Perlembagaan, Professor Madya Dr Shamrahayu Abd Aziz berpendapat apabila Parlimen kembali bersidang, rakyat mengharapkan supaya wakil-wakil mereka dapat menyuarakan hasrat rakyat.

Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz

“Pada masa yang sama, rakyat juga mengharapkan pemulihan negara daripada pandemik, pemulihan ekonomi, pemulihan suasana politik dan pemulihan keadaan sosial negara menjadi lebih mantap dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, walaupun Parlimen tidak bersidang ketika ini, rakyat mengharapkan kerajaan tetap menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Apa yang penting ialah tujuan dan matlamat proklamasi darurat itu dicapai, iaitu pandemik ini perlu dilandaikan grafnya dan pada masa sama, kebajikan rakyat adalah terjamin,” katanya.

Selain mentitah Parlimen boleh bersidang secepat mungkin, Seri Paduka Baginda juga bertitah “bahawa perlu adanya pentadbiran kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara,” jelas Dr Shamrahayu.

Beliau berpendapat pandangan yang telah dizahirkan oleh Yang di-Pertuan Agong ini perlulah dijadikan rujukan oleh semua pihak, termasuk kerajaan, semua wakil rakyat dari pelbagai dimensi kefahaman politik dan juga rakyat sekaliannya.

“Jelas institusi diraja dan badan perundangan mempunyai peranan dalam bidang kuasa masing-masing dalam usaha menangani kemelaratan pandemik,” katanya.

Dr Shamrahayu yang juga merupakan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM), berkata Yang di-Pertuan Agong berperanan menetapkan tarikh mesyuarat pertama Parlimen atas nasihat YAB Perdana Menteri, dan kerajaan berperanan mengambil langkah-langkah seperlunya untuk melindungi kepentingan menyeluruh masyarakat manakala pihak pembangkang turut berperanan untuk melaksanakan proses semak dan imbang terhadap langkah-langkah yang telah diambil serta memberikan maklum balas dan kerjasama yang sewajarnya.

Rakyat perlu faham peranan-peranan ini perlu dilaksanakan menerusi keserasian dan keharmonian antara semua pihak bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia.

“Perlu diingatkan bahawa rakyat adalah pemerhati yang berwibawa dan kini memeriksa dengan lebih teliti setiap tindak tanduk dan tingkah laku para pemain politik,” katanya.

Dalam mengulas titah Seri Paduka Baginda, frasa “secepat mungkin” dalam konteks dan keadaan semasa, Dr Shamrahayu berkata ia boleh difahamkan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkenan untuk memberi penekanan terhadap keperluan semasa untuk menangani kesan pandemik terhadap masyarakat umum tatkala negara dan rakyat dalam keadaan suntuk untuk kembali pulih ke kehidupan pra-pandemik.

“Titah diraja tidaklah terikat dengan pemahaman perundangan semata-mata terutamanya apabila ia berkaitan dengan peringatan atau mesej untuk bacaan umum,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  43  =  52