Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara

 Raja-Raja Melayu tiba di Istana Negara

Kenderaan dipercayai membawa Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tiba memasuki Istana Negara. Foto WMY/Supian Ahmad

Oleh Iqhram Ahmad dan Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 16 Jun — Susulan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu, rombongan diraja dari istana-istana seluruh negara kini tiba memasuki perkarangan Istana Negara mulai pagi tadi.

Tinjauan Wacana.my sejak pagi di perkarangan Istana Negara kelihatant rombongan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah tiba di Istana Negara dan disusuli ketibaan rombongan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar pada pukul 11.03 pagi dan 12.10 tengah hari.

Pada pukul 2.10 petang, rombongan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni al-Marhum Sultan Badlishah tiba ke Istana Negara. Seterusnya rombongan Sultan Nazrin Shah dari Istana Perak pula memasuki ke dalam istana pada pukul 2.35 petang.

Selang beberapa minit kemudian, rombongan dari Istana Terengganu, rombongan Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj tiba memasuki Istana Negara.

Selain daripada ketibaan Raja-Raja Melayu, ketibaan pemimpin-pemimpin tertinggi negara turut kelihatan hadir di Istana Negara iaitu Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Dato’ Sri Affendi Buang, Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Kehadiran Raja-Raja Melayu dan pemimpin-pemimpin tertinggi negara di Istana Negara itu adalah bagi menghadiri Persidangan Khas Raja-Raja Melayu yang dijadualkan hari ini.

Sejak Rabu lalu, Istana Negara menjadi tumpuan selepas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memanggil beberapa pemimpin politik negara bagi membincang isu-isu berkaitan kesihatan, politik, darurat dan ekonomi negara ketika ini.

Sultan negeri-negeri  serta Raja Perlis dan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan tiba di Istana Negara bagi menghadiri mesyuarat khas Raja-Raja Melayu  untuk membincang dan memperincikan syor dikemukakan kerajaan berhubung isu-isu semasa khususnya wabak COVID-19 yang melanda negara kini.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada mesyuarat khas berkenaan turut disertai Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Kali terakhir Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu diadakan adalah pada 25 Oktober tahun lalu.

Pada akhir perbincangan tersebut, Yang Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Belanjawan 2021 diberi keutamaan dan perlu mendapat sokongan Ahli Parlimen. Ia amat penting untuk memulihkan ekonomi dan menangani pandemik COVID-19, terutama membabitkan peruntukan kepada petugas barisan hadapan.

Selain itu, Baginda mengisytiharkan tiada keperluan untuk darurat di negara dan mana-mana bahagian di Malaysia.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ahli politik untuk menghentikan segera segala ‘politiking’ yang boleh mengganggu kestabilan negara.

Mesyuarat kali ini bermula tepat jam 2.30 petang tadi dan dijangka akan membincangkan halatuju pentadbiran negara dalam menangani krisis COVID-19.

 

Foto WMY/Supian Ahmad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  4  =