Rais Hussin letak jawatan sebagai pengerusi MDEC

 Rais Hussin letak jawatan sebagai pengerusi MDEC

Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff

KUALA LUMPUR, 6 Okt — Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff meletakkan jawatan sebagai pengerusi Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) pada Rabu selepas menerajui agensi itu selama hampir 16 bulan sejak 15 Jun, 2020.

Menerusi kenyataan, Rais Husin berkata beliau telah memaklumkan hasrat untuk meletakkan jawatan itu kepada Menteri Kewangan pada pertengahan Ogos 2021, dan mengulanginya kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada awal bulan lepas.

Beliau menyifatkan perjalanannya di agensi itu sebagai amat bermakna di samping banyak usaha telah dilakukan untuk membentuk semula MDEC seperti menyusun kembali lembaga pengarah dan kumpulan pengurusan serta menambah baik tadbir urus dan integriti.

Tender terbuka boleh dipercayai bagi pemerolehan telah dipertingkatkan, pentadbiran geran secara terbuka dan telus telah dilaksanakan berasaskan empat objektif utama iaitu kepantasan, penerima yang layak, tadbir urus baik dan integriti, katanya.

Rais Hussin berkata beliau juga membangkitkan pelbagai perkara dalam usaha mendorong perubahan dan sentiasa yakin dalam melakukan perkara yang betul berlandaskan prinsip yang betul.

“Saya boleh katakan kini saya mempunyai pengalaman yang sangat berharga dalam mencipta semula syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan menangani cabaran yang ditanggungnya.

“Perlu sekali lagi ditekankan bahawa pembaharuan GLC perlu dilaksanakan dengan cara yang boleh dipercayai dan menyakinkan tanpa sebarang campur tangan politik atau bentuk yang lain kerana GLC dibiayai daripada wang rakyat,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  −  4  =  2