Rahsia yang terbongkar daripada COVID-19

 Rahsia yang terbongkar daripada COVID-19

Banyak pihak menghulurkan bantuan kepada mereka yang terjejas pendapatan akibat COVID-19.

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

BERMULANYA ketibaan pandemik COVID-19 kira-kira setahun setengah yang lalu, menjadikan kita sebagai pelajar yang baru memasuki sekolah,  baru hendak memulakan pelajaran, sedangkan kurikulum, buku, malah gurunya belum bersedia untuk mengajar pelajaran yang baru ini. Cuma setelah memakan masa yang agak lama sedikit, baru lah kita mendapat  beberapa panduan yang telah dijelmakan oleh para pengkaji, terutamanya bidang perubatan, untuk pengisian sekolah ini.

Pada mulanya virus penyakit ini tidak diketahui, kenapa tiba-tiba menjelma ke seluruh dunia, dan bagaimana ia berpindah,  dan menjalar dalam keaadaan yang berleluasa, menyerang di dalam badan atau bagaimana. Semuanya merupakan teka-teki yang agak sukar dicarikan jawapannya.

Namun oleh kerana manusia merupakan makhluk yang mempunyai kemajuan berfikir dan mencipta sesuatu, maka mereka yang berilmu yang bernama penyelidik, terus mengkajinya, dan memberi panduan supaya cara perpindahan virus ini disekat, terutamanya menjaga  jarak badan yang tertentu sesama sendiri, memakai tutup muka, menjaga kebersihan tangan selalu, dan akhirnya berkurung di rumah, hal inilah diantaranya yang kita kenali sekarang sebagai prosedur operasi standard (SOP).

Ketika inilah para guru agama di surau dan masjid menegaskan bahawa jemaah yang datang bersolat sememangnya mengetahui tentang keperluan kebersihan ini mengikut ajaran agama, iaitu sehari semalam sekurang-kurangnya mereka membersihkan anggota lahir yang dinamakan wuduk untuk menunaikan solat dan air yang digunakan mestilah bersih. Jadi, kini semua orang mestilah menghargai air yang bersih, mencuci badan dengan bersih, malah baju yang dipakai keluar berjalan atau bekerja juga sepatutnya segera dicuci, apabila sampai ke rumah.

COVID-19 mungkin mempunyai hikmah bagi keadaan yang tertentu. Ketika inilah timbulnya perasaan simpati dan kasih sayang yang lebeh erat sesama manusia, ketika orang yang agak senang hidupnya akan menolong orang yang susah sedikit, yang tidak punya makanan, akan disediakan makanannya, pendeknya telah berlaku perhubungan mesra di antara sesama manusia lebih dari keadaan dan zaman biasa. Keadaan ini menjadi lebih mesra lagi, kerana dugaan penyakit ini telah memakan korban yang banyak, dan kadang-kadang tanpa disedari terutamanya akhir-akhir ini tiba-tiba penyakit ini amat segera menyerang mangsanya.

Budaya tolong menolong, bantu membantu, perhubungan mesra dalam hal ini berlaku, termasuk rasa bertanggungjawab untuk memberikan bantuan bukan hanya dari segi makanan dan minuman, malah semangat dan galakan kepada tenaga hadapan yang bersungguh-sungguh mengembeling tenaga dan ilmu untuk menyelamatkan sesama manusia, seperi doktor dan jururawat, serta kakitangan perubatan yang lain, demikian juga para pemandu dan pengurus kereta ambulans, bomba dan sebagainya, juga para pegawai keselamatan yang terdiri daripada polis dan angkatan tentera serta pasukan lain yang berjuang mempertahankan anak bangsa yang terancam dengan keadaan yang cemas ini.

Dalam kalangan rakyat biasa juga terdapat banyak pusat dan tempat yang menyediakan pertolongan dan bantuan untuk mendapatkan bahan makanan dan keperluan yang mendesak, dengan mengibarkan bendera putih, menyediakan gerai yang membawa berbagai-bagai lambang, dan kedai atau gerai makan tertentu yang menyediakan makanan dan minuman yang disediakan oleh para pelanggan yang bermurah hati, dan cara-cara lain lagi.

Bagaimanapun kadang-kadang  timbul juga rasa sedih dan dukacita ketika membaca dan mendengar berita rasmi, bahawa semasa kuat kuasa PKP ini, banyak berlaku beberapa perbuatan manusia yang menyalahi undang-undang, sebab perkara itu mungkin telah biasa berlaku sebelum ini, tetapi tidak terdedah  kepada masyarakat, kerana pada masa yang lalu tidak ada penguatkuasaan yang ketat seperti zaman PKP ini.  Semenjak berkuatkuasanya PKP, dan semakin ketat sekali pengawasan oleh pihak keselamatan kita di seluruh negara, rupa-rupanya terdapat banyak kumpulan yang melanggar PKP seperti kumpulan yang menjalankan judi dalam talian di dalam bangunan yang dikawal rapi oleh beberapa individu, yang termasuk juga pendatang asing, telah cuba untuk melakukan rasuah bagi melepaskan diri mereka daripada perlanggaran kesalahan undang-undang negara, termasuk penguatkuasaan PKP. Malah lebih kejam lagi terdapat juga penjenayah yang melakukan pembunuhan, mengedar dadah,  malah terdapat percubaan menyeludup barang keluar dari negara kita dengan menggunakan bot muatan barang biasa, tetapi di sebaliknya terdapat barang yang cuba diseludup keluar, dan banyak lagi salah laku yang dilakukan oleh para penjenayah dalam bentuk lain.

Selain daripada itu, manusia sebagai makhluk yang biasanya berada dalam aman damai, dan dapat bergerak ke sana sini dengan bebas, berjumpa kawan, keluarga dan ahli sukan serta lain-lain, lama dan baharu, maka peraturan yang ketat mencegah pergaulan bebas seperti biasa, termasuk berjamu di restoran atau di gerai makan, maka hal ini sedikit sebanyak telah menyentuh perasaan dan jiwa rakyat kita yang merasa gelisah dan resah, sehingga menjelma menjadi tekanan jiwa yang serius.

Dalam keadaan penyakit jiwa yang serius inilah manusia boleh melakukan kesilapan yang baginya merupakan satu jalan keluar dari mengalami penderitaan hidup yang telah pun merosakkan pemikiranya yang waras. Terdapat para pemandu kenderaan yang bersikap kasar, melanggar atau cuba melanggar pasukan keselamatan, cuba untuk mengambil nyawanya sendiri atau bunuh diri dengan pelbagai cara, yang sekiranya didedahkan mungkin merupakan jumlah yang agak besar juga, jika dikaji dari keadaan masa lain yang aman tenteram dan rukun damai dalam bidang sosial dan perniagaan, perkumpulan kenduri jamuan dan sebagainya, terutamanya bagi mereka yang mengalami penderitaan yang amat sangat kerana kehilangan ahli keluarga sebagai mangsa Covid-19 ini.

Maka dalam suasana yang meruncing ini pun terdapat banyak kumpulan sesama rakyat dan ahli profesional mencari jalan untuk mengatasi krisis jiwa ini, dengan mempelawa sesiapa sahaja yang mengalami kecemasan ini, dan berputus asa dalam meneruskan hidupnya, supaya dapat diberikan rundingan dan nasihat serta cara yang terbaik dalam menghadapi krisis dalam segala bentuknya yang amat menekan jiwa raga manusia biasa ini. Kita sering juga mendengar kemalangan jiwa yang sengaja dilakukan di negara kita walau pun dalam keadaan biasa hal itu tidaklah menjadi gejala yang agak hebat di negara kita ini.

Amatlah diharapkan bahawa dugaan yang menimpa umat manusia, termasuk rakyat kita di negara kita ini juga, akan banyak memberikan pelajaran dan iktibar bagi kita. Demikian juga hal ini juga akan membuka mata kita semua untuk mempelajari taktik dan kaedah penjenayah melakukan jenayah mereka, malah perbuatan manusia yang bertuhankan wang ringgit, walau pun perbuatan itu adalah menyalahi undang-undang dan prinsip moral manusia semua. Rasa sabar dan kekuatan jasmani dan rohani amat penting dalam menghadapi segala krisis yang disebabkan oleh pandemik ini, terutamanya menjelang akhir-akhir ini ketika kita melihat meningkatnya bilangan mangsa yang dijangkiti dan yang meninggal dunia.

Bagi umat Islam, mereka haruslah meneliti firman Allah SWT dalam konteks yang umum tentang hal ini, malah telah selalu di ulang-ulangkan sebutannya di sana sini, tetapi terdapat orang kita sendiri yang tidak mahu memahaminya. Firman Allah itu berbunyi:

“Telah timbul berbagai-bagai kerosakan dan bala bencana di daratan dan di lautan akibat dari perbuatan tangan manusia sendiri, kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat”). Surah Al-Rum ayat 41.

Di samping itu Allah juga mengingatkan manusia supaya berusaha mengelakkan segala mala petaka, dan bala bencana yang menimpa manusia ini, malah janganlah menyangka bahawa mereka hanya menyerahkan kepada takdir tanpa berusaha menggunakan akal fikiran dan ilmu mereka di samping memohon pertolongan Allah juga dalam hal ini.

Bencana COVID-19 amatlah besar. Malah memaksa manusia supaya merasai padahnya yang amat berat. Kita haruslah memikirkan tentang pengajarannya yang harus kita ambil, kerana di sebalik dugaan besar yang kita alami, hikmahnya terlalu banyak yang seharusnya kita ambil untuk masa depan kita dan generasi yang akan datang.

 

Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *