Ragu dengan vaksin jadi alasan majoriti guru Johor tolak vaksinasi

 Ragu dengan vaksin jadi alasan majoriti guru Johor tolak vaksinasi

Tunku Ismail mengadakan pertemuan dengan guru-guru di negeri ini yang menolak untuk mengambil vaksin di di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor Bahru, hari ini.

JOHOR BAHRU, 27 Ogos — Seramai 396 daripada 779 guru di Johor yang menolak untuk divaksinasi memberi alasan mereka membuat keputusan tersebut kerana ragu dengan vaksin.

Alasan itu dinyatakan dalam pertemuan mereka dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, di sini hari ini.

Tunku Mahkota Johor mendengar ulasan mengenai isu-isu yang mereka sedang hadapi.

“Daripada 779 guru yang asalnya menolak vaksin, didapati hanya 396 yang tidak mengambil vaksin atas sebab keraguan terhadap vaksin.

“Bakinya telah mengambil pendirian untuk ditangguhkan buat masa ini kerana mempunyai alahan, mengandung ataupun keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan.

“Sebilangan guru telah kini bersetuju mendaftar untuk mengambil vaksin,” kata Tunku Ismail dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Menerusi perjumpaan itu Tunku Ismail berkongsi maklumat mengenai program vaksinasi dan situasi terkini pandemik COVID-19 di Johor.

“Saya berharap guru-guru ini sedar tanggungjawab mereka untuk sentiasa ketengahkan pembangunan modal insan dengan menjadi teladan yang baik,” ujar Tunku Mahkota Johor.

Tunku Ismail berharap mereka akan mengambil vaksin sebelum sesi persekolahan dibuka semula demi memastikan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr. Aman Rabu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  7  =