Putin: Hubungan Rusia-AS kini dingin

 Putin: Hubungan Rusia-AS kini dingin

Vladimir Putin (Foto Reuters)

MOSCOW, 12 Jun — Presiden Rusia Vladimir Putin, di dalam satu temuramah bersama NBC News berkata bahawa hubungan di antara negara Rusia dan Amerika Syarikat kini amat dingin.

Putin yang dijadualkan berjumpa dengan Presiden AS Joe Biden minggu hadapan berkata, “Hubungan dua hala di antara kami kini paling buruk berbanding tahun-tahun sebelum ini.”

Di dalam pertemuan Rabu ini di Geneva, Putin dan Biden dijangka akan berbincang mengenai tindakan agresif Moscow terhadap Ukraine, serangan cyber Rusia ke atas kepentingan Amerika dan lain-lain topik yang sebelum ini menyebabkan kedua negara tersebut berbalah.

Selain itu, Putin juga memuji bekas Presiden AS Donald Trump sebagai seorang “individu yang mengagumkan, yang amat berbakat” dan seorang ahli politik yang “berbeza daripada Biden”.

Disoal mengenai kenyataan Biden Mac lalu bahawa “Putin adalah seorang pembunuh”, Presiden Rusia itu menjawab beliau sudah digelar pelbagai nama lain, dan langsung tidak kisah dipanggil nama sedemikian.

Dalam pada itu, Biden, yang memulakan lawatan lapan hari ke Eropah minggu ini berkata, “Kami tidak mahu mencari konflik dengan Rusia.

“Kami mahukan hubungan stabil dan mudah … tetapi seperti yang saya sentiasa tekankan: Amerika Syarikat tidak akan teragak-agak untuk bertindakbalas dengan tegas sekiranya kerajaan Rusia melakukan apa-apa aktiviti yang membahayakan kepentingan kami.” – Reuters

WMY

WMY@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  80  =  90