• Sunday, 20 June 2021, 8:10 am

Pusat panggilan judi luar negara diserbu, 10 pekerja ditahan

 Pusat panggilan judi luar negara diserbu, 10 pekerja ditahan

Antara komputer dan telefon bimbit yang dirampas daripada sindiket.

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 20 Mei – Kegiatan satu sindiket menjadikan sebuah rumah di Taman Sunway, Bukit Lenang, Johor Jaya di sini sebagai pusat panggilan perjudian luar negara terbongkar apababila diserbu polis, kelmarin.

Serbuan pasukan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam itu dilakukan jam 6.30 petang dan 10 pekerja warga tempatan ditahan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Isahak berkata, mereka terdiri daripada enam lelaki dan empat wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Polis merampas 11 komputer, 46 telefon bimbit pelbagai jenama dan sebuah fail dokumen disyaki rekod perjudian dalam serbuan itu.

Turut dirampas ialah 143 keping sim kad pelbagai syarikat telekomunikasi, satu set modem dan router dan 14 keping kad ATM pelbagai bank, katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, modus operandi rumah itu dijadikan sebagai pusat transaksi pemindahan dan pengeluaran wang secara dalam talian menerusi akaun bank dan perjudian itu beroperasi di Kemboja.

Anggaran transaksi antara RM50,000 hingga RM100,000 sehari dan sindiket itu sudah beroperasi dua bulan di rumah tersebut.

Mohd. Sohaimi berkata, selain Malaysia, aktiviti perjudian itu turut dijalankan di Singapura dan Hong Kong.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan denda antara RM5,000 hingga RM50,000 dan penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Kesemua suspek berkenaan kini direman selama tiga hari bermula semalam.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *