• Friday, 18 June 2021, 1:24 am

Pusat panggilan bantu kurangkan beban CAC di Selangor

 Pusat panggilan bantu kurangkan beban CAC di Selangor

Datuk Seri Amirudin Shari

Oleh Suraya Ali

 

SHAH ALAM, 17 Mei — Kerajaan Negeri Selangor akan mewujudkan pusat panggilan atau ‘calling centre’ untuk membantu mengurangkan beban di Pusat Penilaian COVID (CAC) bagi penilaian pesakit di rumah ataupun ‘home assessment’.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata pusat panggilan itu akan dilaksanakan oleh sukarelawan perubatan negeri.

“Bagi membantu melancarkan operasi di CAC, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menyediakan 150 sukarelawan yang terdiri dari penjawat awam, penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), petugas perubatan SELCARE serta pelajar perubatan universiti swasta yang akan membantu kelancaran operasi di CAC terutamanya CAC Daerah Petaling di Stadium Malawati,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Amirudin, pertambahan sukarelawan ini akan membantu pengurusan trafik, pengurusan pesakit COVID-19 serta penilaian pesakit.

Tambahnya, statistik mendapati bahawa 48 peratus pengunjung yang hadir ke CAC Stadium Malawati adalah bagi urusan memotong gelang kuarantin ataupun penamatan ‘home quarantine’.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan mewujudkan kaunter khas bagi tujuan pemotongan gelang ataupun penamatan kuarantin di rumah. Ini bagi mengurangkan kesesakan di CAC Stadium Malawati dan pada masa sama mengurangkan risiko jangkitan kepada mereka yang telah tamat kuarantin,” katanya.

Selain itu, inisiatif ketiga yang dicadangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor adalah mengenai klinik dan fasiliti perubatan swasta (CAC swasta) yang mempunyai pengamal perubatan yang diberi kebenaran untuk melaksanakan ‘Home Surveillance Order’ (HSO).

“Ini membolehkan mereka memberi arahan pemakaian gelang kuarantin kepada mereka yang didapati positif serta kontak rapat,” katanya.

Menurut Amirudin, dengan pelaksanaan ini, pesakit COVID-19 tidak perlu hadir ke CAC Daerah tetapi boleh ke CAC Swasta dan ini dapat mengurangkan beban di CAC Daerah terutamanya CAC Stadium Malawati.

Di Selangor terdapat 65 Pengamal Perubatan (General Practitioner) yang diberi kebenaran untuk melaksanakan HSO.

“Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut memaklumkan mengenai penambahan kelengkapan ICU dan jumlah katil bagi pesakit COVID-19 di Selangor.

“Sejumlah 300 katil dan wad ICU akan ditambah, manakala 1,300 katil akan ditambah di MAEPS Serdang, kemudahan seperti 20 unit khemah lengkap dengan kipas, kerusi dan sistem PA turut ditambahbaik di CAC Petaling yakni Stadium Malawati semenjak semalam lagi untuk keselesaan orang ramai,” katanya.

Ketetapan baharu turut dibuat agar MAEPS Serdang hanya akan merawat pesakit dari Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sahaja berikutan keputusan mewujudkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di beberapa negeri lain di wilayah tengah seperti Negeri Sembilan, Melaka, Pahang dan Johor.

Kerajaan Negeri Selangor akan terus memantau keadaan semasa mengenai situasi COVID-19 di Selangor dan akan terus melaksanakan langkah-langkah proaktif di bawah kapasiti yang ada bagi menangani perebakan wabak ini.

Amiruddin hari ini telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor yang melibatkan pakar perubatan serta exco kerajaan negeri Selangor.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *