Pusat Komuniti Bijak Larkin sedia tuisyen RM1

 Pusat Komuniti Bijak Larkin sedia tuisyen RM1

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 4 April – Atas rasa prihatin terhadap nasib murid-murid yang ketinggalan dalam pelajaran disebabkan sekolah ditutup bagi mengekang penularan pandemik COVID -19 tahun lalu, Pusat Komuniti Bijak Larkin menyediakan kelas tuisyen RM1 setiap Rabu, bermula minggu hadapan.

Pengerusi Pusat Komuniti Bijak, Razrul Anwar Rusli berkata, kelas tuisyen dengan bayaran serendah RM1 bagi setiap subjek dan setiap sesi yang diadakan di No 14-01, Seri Anugerah, Jalan Langkasuka, Larkin.

Razrul Anwar bersama dengan murid-murid yang akan mengikut kelas tuisyen RM1 di Pusat Komuniti Bijak Larkin mulai Rabu ini

Idea mengadakan kelas tuisyen ini bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah yang mahu anak mereka membuat persiapan bagi menduduki pemeriksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2021, katanya.

“Akibat pandemik COVID-19 lebih setahun, ramai masyarakat terjejas sumber pendapatan manakala anak-anak pula tertinggal pelajaran kerana masih menyesuaikan diri dalam norma baharu.

“Oleh itu, kami terpanggil untuk membantu murid-murid terutama calon UPSR 2021 supaya tidak ketinggalan dalam memantapkan pelajaran dengan kadar yuran yang sangat rendah iaitu RM1 bagi setiap kelas dan setiap subjek,” katanya.

Razrul yang juga Timbalan Ketua BERSATU Johor Bahru memberitahu, kelas tuisyen itu diadakan pada setiap Rabu mulai 7 April ini.

Kelas tuisyen itu mengajar matapelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik bermula jam 8 hingga 10 malam dan sesi pembelajaran setiap subjek mengambil masa selama satu jam.

“Usaha yang dilakukan ini turut mendapat perhatian Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berbesar hati menyumbang 30 set kerusi dan meja mudah alih untuk kegunaan murid.

“Kami cukup terharu dan berterima kasih kepada Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan atas keprihatinan beliau dalam menjayakan kelas tuisyen ini.

Setakat ini, 12 murid mendaftar bagi menyertai kelas tuisyen berkenaan.

Pusat tuisyen ini akan dikelolakan tiga tenaga pengajar. Pertanyaan untuk pendaftaran sila hubungi talian di Pusat Komuniti Bijak: 012-791 2474 atau Cikgu Mas Azlina: 012-724 7457.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *