Pusat Komuniti Bijak bantu 100 murid SK Taman Suria

 Pusat Komuniti Bijak bantu 100 murid SK Taman Suria

Razrul Anwar (depan) bersama murid Program Bantuan Buku Latihan Kepada Anak Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU, 5 April – Kira-kira 100 murid daripada keluarga golongan B40 terlibat dalam Program Bantuan Buku Latihan Kepada Anak Murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Suria di sini, semalam.

Program itu dianjurkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah tersebut dengan Kerjasama Pusat Komuniti Bijak.

Pengerusi Pusat Komuniti Bijak, Razrul Anwar Rusli berkata, pihaknya memberi bantuan buku tulis dan buku latihan kepada murid-murid berkenaan.

“Bantuan ini disyorkan oleh guru-guru sekolah tersebut berdasarkan keperluan setiap murid. Kami berharap sumbangan ini dapat membantu murid-murid terbabit.

“Jadi guru memilih murid-murid berkenaan dan syorkan kepada kami di Pusat Komuniti Bijak dalam usaha memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata, program itu adalah untuk membantu serta bekerjasama dengan guru dan PIBG sekolah berkenaan dalam membantu murid-murid yang berpotensi tetapi mengalami kekangan kewangan.

Katanya, ini juga supaya menjadi contoh kepada masyarakat Melayu bahawa pendidikan paling penting untuk masa depan anak-anak dan tidak seharusnya dipandang ringan selain perlu ramai lagi pihak tampil membantu.

“Jangan harap kerajaan semata-mata. Lihat contoh sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) bagaimana mereka maju ke depan dengan inisiatif sendiri bersama-sama dengan bantuan kerajaan,” katanya.

Sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan tenaga pengajar sekolah tersebut gembira dan berpuas hati kerana murid berkenaan dapat memiliki kelengkapan buku seperti rakan-rakan mereka.

Program ini adalah inisiatif guru diketuai Guru Besarnya, Masita A Hamid dan Yang Dipertua PIBG, Abdul Halim Daud. Mereka menemui pihak Pusat Komuniti Bijak dan setuju bekerjasama kerana sekolah ini 90 peratus adalah murid Melayu.

“Kami juga sedang menyiapkan sebuah kelas satu Smart TV di sekolah SK Taman Suria supaya murid-murid yang majoriti anak Melayu dapat belajar sesi online dengan lebih baik,” ujarnya.

Razrul Anwar berkata, sekolah itu adalah yang pertama menerima bantuan itu kerana 90 peratus muridnya Melayu dan tergolong dalam keluarga B40 serta dipilih kerana guru-gurunya berdedikasi serta banyak berkorban wang ringgit dan tenaga.

Program itu akan diteruskan di sekolah lain sekitar daerah ini dan Pusat Komuniti Bijak boleh menjadi perantara antara pihak swasta, orang ramai atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu kecemerlangan pendidikan SK sekitar daerah ini.

“Saya percaya banyak pihak yang ingin turut serta, tetapi tidak tahu atau tiada saluran untuk mereka tampil ke depan. Selain itu, pusat komuniti ini menyediakan tuisyen Bahasa Inggeris dan Matematik dengan hanya RM1 untuk satu sesi.

“Kita juga ada komputer awam untuk pelajar belajar teknologi online dan digital. Jadi bantuan pendidikan seperti ini kena dan seiring dengan objektif penubuhan Pusat Komuniti Bijak,” katanya.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *