Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, warga asing antara yang ditahan

 Pusat hiburan tanpa lesen diserbu, warga asing antara yang ditahan

KUALA LUMPUR, 25 Jun —  Sebuah pusat hiburan yang beroperasi tanpa lesen di Taman Shamelin, disini diserbu polis malam tadi.

Dalam sebuah kenyataan, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzham Jaafar berkata pihaknya bertindak di atas maklumat berkaitan pusat hiburan beroperasi tanpa lesen yang sah dan menggaji wanita warganegara asing sebagai pelayan wanita (GRO) serta tidak mengikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) COVID-19.

Pada 24 Jun 2021 jam lebih kurang 10.20 malam sepasukan pegawai dan anggota Polis dari Cawangan D7 IPD Cheras dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Cheras telah membuat pemeriksaan di sebuah premis hiburan yang beroperasi di Taman Shamelin Perkasa, Cheras, Kuala Lumpur,” katanya.

Semasa pemeriksaan  polis telah menahan seorang lelaki Cina atas kesalahan terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian.

Manakala dua orang lelaki warganegara Bangladesh turut ditahan atas kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan pusat hiburan dan bekerja tanpa mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah.

Turut ditahan, sembilan orang wanita yang terdiri daripada dua warganegara Laos dan tujuh warganegara Vietnam atas kesalahan bekerja sebagai pelayan wanita (GRO) tanpa dokumen perjalanan diri yang sah.

Polis turut berjaya  merampas peralatan elektronik seperti telefon bimbit, power amplifier, unit sistem bunyi, dan pelbagai lagi barangan dipercayai digunakan oleh pusat hiburan tersebut.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021,” katanya.

Tambah Muhammad Idzham, semasa pemeriksaan Ops Pematuhan S.O.P PKP COVID-19, pasukan pemeriksaan turut mengeluarkan kompaun ke atas sembilan lelaki warga tempatan kerana terlibat dengan aktiviti terlarang iaitu aktiviti hiburan dalam tempoh PKP.

Selain itu seramai dua belas orang ditahan selepas hasil ujian saringan awal air kencing didapati positif dadah jenis Amphetamine, Methamphetamine, Benzo dan ketamin.

Mereka terdiri daripada enam lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Bangladesh dan lima orang wanita warga Vietnam.

Kesemua mereka ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur dan lokap Balai Polis Salak Selatan Baru, disini dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

7  +  1  =