Puncak Gunung Jerai catat taburan hujan 278mm dalam tempoh 8 jam

 Puncak Gunung Jerai catat taburan hujan 278mm dalam tempoh 8 jam

Tangkap layar dari video yang dihantar di media sosial mengenai banjir di Kedah.

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Tinjauan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) mendapati, terdapat taburan hujan lebat yang luar biasa dalam tempoh singkat di sekitar kawasan puncak Gunung Jerai, Kedah bermula sekitar jam 2.30 petang, semalam.

Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar Dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, berkata keadaan itu menyebabkan berlaku kejadian banjir kilat di kawasan penempatan di Kuala Muda dan Yan, Kedah.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Zaini berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Stesen Hujan Gunung Jerai merekodkan bacaan kumulatif 281 milimiter (mm) dan Stesen Hujan Kampung Singkir Genting, merekodkan bacaan kumulatif 172 mm.

“Dalam tempoh satu jam, jumlah kumulatif tertinggi hujan direkodkan adalah 91 mm.

“Pada jam 6 petang, hujan yang dialami, melebihi 50 tahun Average Recurrence Interval (ARI),” katanya.

Tambah beliau, kemuncak kejadian adalah pada jam 8 malam, apabila melebihi 70 tahun ARI bagi jumlah hujan 278 mm.

“Kejadian hujan yang ekstrem ini menyebabkan fenomena kepala air di kawasan Gunung Jerai dan banjir lumpur sehingga kedalaman 0.1 hingga 0.3 meter di daerah Kuala Muda dan 0.2 hingga 1.5 meter di Yan.

“Hujan lebat di hulu iaitu kawasan bukit menyebabkan berlaku limpahan air sungai serta terdapat halangan sampah sarap, kayu dan reba pokok yang tersangkut pada lintasan,” katanya.

“Pihak Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bersama-sama agensi di bawahnya, termasuk kerajaan negeri mengambil tindakan termasuk kerja pembersihan dan mengadakan perbincangan bagi melaksanakan kerja pembaikan yang perlu dijalankan segera,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

95  −  85  =