Punca kematian berpunca vaksin, mudah dikesan

 Punca kematian berpunca vaksin, mudah dikesan

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 22 Mac — Tidak sukar untuk menentukan punca kematian seseorang sama ada akibat suntikan vaksin atau sebab lain.

Menurut doktor perubatan, Dr Wan Hidayu Wan Ahmad, apabila berlaku kematian, pihak hospital akan menjalankan pembedahan autopsi ke atas mayat dan punca kematian boleh ditentukan.

Dr Wan Hidayu Wan Ahmad

“Jika seseorang itu mempunyai sejarah penyakit lain dan setelah beberapa hari mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 dan ditakdirkan meninggal dunia, punca kematiannya boleh ditentukan selepas pembedahan autopsi dilakukan,” katanya.

Sebagai contoh, Wacana.my merujuk kepada kes yang tular baru-baru ini seorang pesakit jantung meninggal dunia setelah beberapa hari menerima suntikan vaksin COVID-19.

“Untuk pesakit jantung, kebiasaannya punca kematian mereka adalah apabila ada saluran yang tersumbat, ia boleh menyebabkan komplikasi seterusnya membawa maut, dan masalah ini kebiasaannya mengambil masa bertahun-tahun dan bukanlah hanya dalam beberapa hari atau beberapa jam, saluran darah boleh tersumbat,” katanya.

Bagi memudahkan pembaca memahaminya, Dr Wan Hidayu memberitahu punca saluran tersumbat adalah akibat pengumpulan plak didalam saluran dan ini mengambil masa beberapa tahun.

“Maksudnya, jika seseorang itu tidak mengambil vaksin COVID-19 dan mempunyai masalah yang sama, kebarangkalian dia mendapat serangan jantung adalah sama.

“Vaksin COVID-19 tidak meningkatkan peluang serangan jantung keatas seseorang pesakit, itu bukan kesan vaksin,” jelasnya.

Dr Wan Hidayu menasihati semua rakyat Malaysia yang layak untuk mendaftar dan mengambil suntikan vaksin COVID-19 untuk kebaikkan bersama.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM10 juta bagi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 untuk rakyat Malaysia dan warga asing yang mendapat kesan sampingan serius setelah menerima vaksin di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Dr Adham berkata bantuan khas itu dibahagi kepada dua kategori iaitu bantuan khas RM50,000 sekiranya berlaku kesan sampingan serius sehingga memerlukan rawatan berpanjangan di hospital dan RM500,000 jika berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan oleh vaksin COVID-19.

Beliau ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata dana permulaan itu adalah di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bagi tujuan bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19.

“Bantuan khas ini adalah langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin COVID-19,” katanya dalam sidang media  bersama Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin, di sini hari ini.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  3  =