Pujuk kuda ketika tukar ladam

 Pujuk kuda ketika tukar ladam

PEKAN, 2 Februari 2022 – Memasang ladam atau ‘kasut’ kuda tidaklah sesukar mana tetapi jika mood kuda tidak baik, nyawa pemasang ladam boleh terancam sekiranya haiwan berkenaan tersentak lalu menendang kaki belakangnya tepat mengenai dada pemasang ladam.

Mohd Shah Mohd Nor (kiri) dan Wan Mohd Talib Wan Mohamed Salim melakukan proses memasang ladam atau kasut kuda polo

Dipijak dan digigit kuda yang secara tiba-tiba ‘naik minyak’ antara dugaan ditempuh Mohd Shah Mohd Nor, 53 sepanjang lebih 30 tahun menjalankan tugas sebagai pemasang ladam haiwan berkenaan yang digunakan untuk permainan polo.

Menurutnya, perangai setiap kuda berbeza dan ia perlu difahami sebelum tugas memasang ladam dilakukan, terdapat jenis kuda yang jinak dan ada kuda yang agak liar dan agerif walaupun sudah lama berada bersama penjaga dalam kurungan.

Mohd Shah Mohd Nor melakukan proses memasang ladam atau kasut kuda polo di Kelab Polo Diraja Pahang.

Katanya, ladam atau kasut kuda yang diperbuat daripada besi berkualiti tinggi perlu ditukar setiap bulan bagi mengelak sendi kaki kuda mengalami kecederaan serius seterusnya menyebabkan haiwan berkenaan tidak dapat berjalan dengan sempurna seterusnya terpaksa berehat panjang.

“Tugas sebagai tukang pasang ladam kuda polo memerlukan minat, berani dan kemahiran, pengalaman akan menjadi pelengkap kepada kebolehan menjalankan tugas berkenaan yang tidak ramai mampu melakuknya.

Mohd Shah Mohd Nor (kiri) dan Wan Mohd Talib Wan Mohamed Salim melakukan proses membetulkan ladam atau kasut kuda polo sebelum dipasang.

“Proses menukar ladam atau kasut kuda bermula dengan mencabut ladam lama yang telah rosak dan nipis selepas digunakan selama sebulan. Ladam perlu ditukar secara serentak kaki depan dan belakang (empat unit).

“Selepas itu kuku kuda perlu dibersihkan, dikikis dan diratakan menggunakan peralatan khas bagi memudahkan ladam dipasang selain mengelak kecederaan pada kuda ketika berjalan. Enam paku digunakan untuk melekatkan ladam pada kuku.

“Kedudukan ladam pada kuku kuda perlu tepat bagi mengelak kecederaan pada haiwan berkenaan ketika berjalan dan beraksi ditengah padang,” katanya yang menetap di Kampung Padang Polo, di sini.

Beliau berkata, sebelum ini ladam kuda dihasilkan secara tradisional menggunakan besi melalui proses membakar dan membentuk lingkaran pelbagai saiz namun kini ladam diterima siap dengan saiz 3, 4, 5 dan 6 mengikut saiz kaki kuda.

Mohd Shah yang bertugas dengan Kelab Polo Diraja Pahang bersama rakanya Wan Mohd Talib Wan Mohamed Salim, 55 menambah, setiap hari dia mampu menukar ladam antara empat hingga lima ekor kuda sehari bergantung kepada jenis kuda dan keperluan semasa.


Katanya, dia menimba ilmu menukar ladam atau kasut kuda dengan tiga individu, pertama dengan seorang rakan setugas Rahim Makbar atau panggilan ‘Cu Wan’ yang kini telah bersara termasuk dua jurulatih profesional dari Argentina dan Australia yang dibawa khas ke Kelab Polo Diraja Pahang.


“Ketika menukar ladam kuda saya sering bercakap dengan kuda dalam usaha menenangkanhaiwan berkenaan yang bila-bila masa sahaja boleh bersikap agresif, masa diambil antara 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan seekor kuda.


“Saya sebelum ini beberapa kali digigit kuda dibahagian bahu dan belakang ketika menukar ladam haiwan berkenaan, kebiasaan kuda yang sentiasa agresif memiliki kebolehan tinggi ketika beraksi ditengah padang.


“Bertugas sebagai tukang pasang ladam kuda memberi peluang kepada saya mengikuti rombongan Kelab Polo Diraja Pahang menyertai kejohanan polo di Thailand dan Singapura,” kata datuk kepada dua cucu yang dilahirkan di Johor sebelum berpindah di sini.


Sementara itu bagi Wan Mohd Talib, dia berpengalaman selama 12 tahun sebagai tukang pasang ladam kuda selepas banyak menimba ilmu dengan rakan (Mohd Shah) selain pernah mengikuti kursus di Johor.
Katanya, kekuatan fizikal perlu ada ketika aktiviti menukar ladam kuda, berdiri dan membongkok dalam masa 45 minit hingga sejam bagi setiap seekor kuda.


“Kita bertugas kita perlu berhati-hati terutama membabitkan kuda jenis agresif, bimbang ditendang dan digigit dan biasanya penjaga haiwan berkenaan akan turut sama membantu mengawal.

“Diperingkat awal perasaan gerun berlaku setiap kali bertugas, saiz kuda polo besar dan tinggi menimbulkan rasa bimbang kejadian tidak diingini berlaku.


“Alhamdulillah sepanjang bertugas saya dan Mohd Shah tidak pernah berlaku kecederaan serius..cuma pernah beberapa digigit oleh haiwan terbabit,” katanya yang sebelum ini bertugas sebagai tukang kebun dengan Kelab Polo Diraja Pahang.


Wan Mohd Talib menambah, tugas menukar ladam kuda kini boleh dikatakan lebih mudah berbanding 50 tahun lalu apabila terpaksa membakar besi dan mengetuk bagi menghasilkan ladam, bermandi peluh untuk menyiapkan satu ladam atau kasut.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  59  =  62