Puding raja dan tembosa raja hidangan istimewa istana Pahang

 Puding raja dan tembosa raja hidangan istimewa istana Pahang

Anis Syazwani Abd Mubin bersama produk puding raja yang dihasilkan untuk jualan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

PEKAN, 25 Jun – Puding raja dan tembosa raja merupakan makanan istimewa istana Pahang yang sebelum ini hanya untuk hidangan golongan raja dan kerabat sahaja.

Makanan pencuci mulut itu suatu ketika dahulu amat sukar ditemui, namun kini produk berkenaan sudah dikomersialkan yang membolehkan semua pihak merasanya.

Usahawan produk berkenaan, Anis Syazwani Abd Mubin berkata, puding raja yang terkenal dalam kalangan penduduk daerah ini menggunakan enam bahan utama seperti susu cair, pisang lemak manis, kuning telur dan biji gajus.

Puding raja dan tembosa raja merupakan makanan istimewa istana Pahang yang sebelum ini hanya untuk hidangan golongan raja dan kerabat sahaja. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Katanya, beberapa peringkat perlu dilalui dalam menghasilkan makanan pencuci mulut itu, antaranya mengoreng pisang, mengoreng kuning telur dan menghasilkan kuah menggunakan susu cair.

“Sebagai penyeri dan menambahkan keenakan dicampur dengan biji gajus dan beberapa jenis buah kering lain, kebiasaan hidangan disediakan dalam bekas kecil.

“Setiap kali majlis di istana puding raja pasti menjadi hidangan wajib ada selain tembosa raja yang dianggap istimewa,” kata graduan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Anis Syamimi Abd Mubin membantu menyediakan tembosa raja. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

Dia yang mendapat sokongan daripada ibu (Thuraya A Razak) berkata, dia menceburi bidang perniagaan produk sejuk beku dengan tumpuan perniagaan di Pahang selain Kuala Lumpur dan Selangor serta beberapa negeri lain.

Sementara itu bagi Thuraya, dia membekalkan beberapa produk sejuk beku jenama Suehanis seperti tembosa raja, tembosa isi ikan, cucur badak, puding raja dan karipap.

Katanya, tembosa raja dengan warna kekuningan apabila digoreng dihasilkan menggunakan inti ikan selayang segar, produk berkenaan dibakar terlebih dahulu sebelum dibungkus untuk pasaran.

“Hirisan telur ayam rebus yang diletakan dalam tembosa raja menjadikan makanan itu lebih enak apabila dimakan, makanan berkenaan begitu terkenal di daerah ini.

Proses menghasilkan
tembosa raja dengan inti ikan selayang segar dan hirisan telur ayam rebus. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

“Proses membuat tembosa raja tidak terlalu rumit, selepas menghasilkan kulit, inti ikan selayang dan hirisan telur dimasukan dan seterusnya ia dibakar,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun dalam perniagaan itu.

Beliau berkata, produk tembosa raja yang dihasilkan kini berjaya menembusi pasaran Singapura dan Arab Saudi, usaha meluaskan lagi jualan ke beberapa negara lain kini sedang dilakukan.

Thuraya berkata, sokongan keluarga menambahkan lagi semangatnya untuk terus berjaya dalam perniagaan makanan tradisional itu.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *