PTPTN catat rekod baru deposit SSPN 2020

 PTPTN catat rekod baru deposit SSPN 2020

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 10 Feb: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan deposit berjumlah RM1.99 bilion bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) pada 2020.

Pencapaian cemerlang bagi tahun ketiga berturut-turut itu memecah rekod terdahulu dengan peningkatan sebanyak RM623.82 juta atau 45.58 peratus berbanding RM1.37 bilion tahun sebelumnya.

Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, jumlah keseluruhan deposit SSPN terkumpul sehingga 31 Disember 2020 ialah RM7.88 bilion.

“Terimaan deposit berjumlah RM1.99 bilion bagi 2020 ini merupakan 132.82 peratus berbanding sasaran 2020 sebanyak RM1.5 bilion.

“Manakala, bagi pembukaan akaun baharu SSPN pula, sebanyak 436,101 akaun telah dibuka pada 2020 berbanding sasaran 400,000 akaun. Sejak diperkenalkan pada 2004 hingga 31 Disember 2020, sebanyak 4.82 juta akaun SSPN telah dibuka.

“Selain itu, PTPTN juga telah memperbanyakkan saluran untuk transaksi online termasuk Direct Debit, e-Pay, FPX, JomPay, kiosk media, MOLPay, myPay dan PayQuik bagi memudahkan masyarakat menyimpan dalam SSPN,” katanya.

Menurut Datuk Wan Saiful, penggunaan sistem online perlu dilaksanakan bagi memastikan urusan pelanggan berjalan dengan cepat, mudah dan selamat terutama ketika situasi semasa pandemik COVID-19 yang melanda negara.

Katanya, pelbagai usaha perlu dilakukan bagi mengubah budaya masyarakat dalam bab menabung.

“Antara penekanan saya semasa mengambil alih sebagai pengerusi pada 2018 ialah untuk mengurangkan bebanan kewangan anak muda. Syukur dalam masa tiga tahun saya di PTPTN, kita sudah berjaya meningkatkan jumlah deposit SSPN sebanyak hampir tiga kali ganda berbanding 2017 dan keuntungan juga meningkat setiap tahun.

“Pencapaian cemerlang ini adalah hasil dedikasi pegawai PTPTN di semua peringkat, dengan sokongan daripada seluruh Ahli Lembaga Pengurusan PTPTN,” katanya.

Tambah beliau, PTPTN juga akan meneruskan usaha membudayakan penabungan supaya suatu hari nanti kebergantungan kepada hutang akan berkurangan.

“Saya mahu mengubah PTPTN agar ia dilihat sebagai agensi yang peranan utamanya adalah untuk menyediakan tabungan pendidikan, tetapi turut mempunyai kemudahan pinjaman bagi mereka yang memerlukan,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  3