PTPTN bantu Persatuan Penduduk PDRM Setiawangsa

 PTPTN bantu Persatuan Penduduk PDRM Setiawangsa

Datuk Wan Saiful (4 dari kanan) bersama ahli jawatankuasa persatuan penduduk selepas solat Jumaat semalam

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 27 Feb: Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi (PTPTN)  menghulurkan bantuan kepada Persatuan Penduduk Kelompok Kenanga PDRM di Setiawangsa di sini bagi membaik pulih dan mengubah suai rumah aktiviti di situ.

Rumah berkenaan akan dijadikan sebagai sebuah pusat komuniti serta sebuah sekolah agama atau Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA).

Satu perjumpaan membincangkan perkara itu diadakan selepas solat Jumaat semalam, dihadiri Pengerusi PTPTN, Datuk Wan Saiful Wan Jan bersama ahli jawatankuasa persatuan penduduk berkenaan.

Wan Saiful berkata, bantuan tersebut mampu memanfaatkan lebih 900 penduduk di kawasan itu serta memudahkan urusan aktiviti komuniti.

“Dengan membantu serta merapatkan hubungan dengan persatuan penduduk di sini, ia mampu beri manfaat kepada kempen menabung PTPTN yang akan menolong anak-anak ini pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, menurut pengerusi persatuan penduduk, Muhammad Yusuf Yaacob berkata, objektif utama membaik pulih rumah aktiviti berkenaan adalah bagi memanfaatkan pendidikan anak-anak di kawasan itu.

“Sebelum ini, sekolah KAFA di sini terpaksa diadakan di surau berdekatan yang mempunyai ruang yang terhad. Jadi pembinaan sekolah agama ini mungkin dapat menambahkan bilangan pelajarnya nanti.

“Selain itu, rumah aktiviti itu juga boleh dijadikan pusat tuisyen dan kelas menjahit. Dengan ahli belia yang aktif, bantuan yang diberikan mampu memperkasakan hubungan sesama jiran serta menarik minat anak muda dalam pendidikan.

Turut hadir pada program berkenaan adalah Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Setiawangsa, Mohd Ikhmal Abu Bakar.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  73  =  80