Atas dasar demokrasi kononnya pemimpin Melayu bercakaran sesama sendiri

 Atas dasar demokrasi kononnya pemimpin Melayu bercakaran sesama sendiri

KUALA LUMPUR – Pengundi Melayu khususnya diingatkan supaya tidak mengulangi tragedi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) sehingga tiada satu parti pun yang dominan untuk menjadi kerajaan.

Ahli Dewan Negara, Senator Mohammad Zahid Md Arip Datuk Saarani Mohamad berkata, kesilapan memilih itu menyebabkan ketidakstabilan politik negara sehingga sekarang.

Beliau turut menjelaskan bahawa sehingga kini Malaysia telah merekodkan 3 kali perubahan pucuk pimpinan negara sejak PRU14 lalu yang disebabkan oleh golakan politik sesama pemimpin.

“Pada 20 januari 1874, telah termeterinya satu perjanjian antara Gabenor Negeri Selat dengan Raja Muda Abdullah, yang diberi nama Perjanjian Pangkor. Tahun 1819, perjanjian Kesultanan Johor dengan pihak British berkenaan kedudukan Pulau Temasek.”

“Saya timbulkan sejarah ini untuk sedarkan kita semua bahawa perjanjian ini semuanya bertitik tolak daripada perebutan takhta dan kuasa dalam kalangan orang melayu sendiri,” katanya.

Zahid Md Arip menegaskan bahawa para pemimpin perlu belajar dari sejarah agar tidak mengulangi kesilapan lalu terutamanya pemimpin Melayu.

“Atas dasar demokrasi kononnya pemimpin Melayu bercakaran sesama sendiri.”

“Cukup-cukuplah rakyat dihidangkan dengan episod dendam kesumat politik, hentikanlah pertelagahan yang tidak membawa sebarang erti ini.”

Persoalannya ialah, apakah sejarah lalu dan PRU-14 masih belum cukup untuk insafkan para pemimpin di Malaysia? Jika pemimpin kita mahu penyatuan, 1001 penawar juga pasti terhidang.

Soalnya kita hendak pilih jalan mana?
Jalan penyatuan atau perpecahan?
Jalan susah atau mudah?
Jalan menang atau kalah?
Jalan yang dimurkai Allah atau diredhai Allah?

Namun di penghujung bicara, Zahid sempat menegaskan dengan kata-katanya yang cukup mendalam buat para pemimpin yang berbunyi;

“Kepada semua pemimpin besar politik Melayu, pamerkan jiwa besar kalian. Apa faedahnya bertelagah secara terbuka di media untuk menabur garam pada luka.”

“Jika anda itu pemimpin sejati, pamerkanlah sikap kepimpinan dan kembali di meja rundingan demi manfaat. Pemimpin Melayu mesti menyatupadukan umat Melayu. Buangkanlah sifat dendam kesumat antara kalian. Dendam ini akan hancurkan umat dan negara tercinta,” katanya.

Tambahnya lagi, jika berlaku lagi pertembungan sesama parti Melayu dalam PRU-15 nanti nasib Melayu dan bumipurea negara ini akan terancam.

Irmamusliana Mustajab

emma@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

2  +  4  =